Dalam menghadapi ujian yang datang, kita se­ringkali terlupa bahawa hidup umpama roda. Ada masa kita di atas dan ada ketikanya berada di bawah.

Dalam hal ini, seorang rakan penulis pernah berpesan apabila kita berada di atas jangan pula berlagak sombong dengan menghina dan menindas orang di bawah kerana untung nasib diri pada masa depan hanya Tuhan yang menentukannya.

Tanpa kita sedar, mungkin orang yang kita hina, tidak peduli dan herdik pada hari ini akan menolong kita suatu masa nanti. Itulah hakikat kehidupan yang perlu ditelan walaupun pahit.

Seorang rakan pernah menceritakan tentang bagaimana orang yang dia tidak pandang walau sebelah mata selama ini sudi menolongnya sewaktu berada dalam kesusahan ketika rakan-rakan yang selalu keluar bergembira bersamanya memberikan pelbagai alasan.

Katanya, kawannya itu merupakan kenalan semasa di bangku sekolah dan hanya bekerja biasa-biasa, selain cuma mempunyai sebuah motosikal untuk digunakan sebagai pengangkutan utamanya ke mana-mana destinasi.

Ceritanya, pada satu malam, ketika memandu sendirian keretanya kehabisan petrol di satu lokasi dan dia kemudian menghubungi beberapa rakan yang dianggap ‘setia’ untuk membantu. Malangnya, mereka memberikan pelbagai alasan yang boleh dikatakan mengarut.

Entah bagaimana, dia yang dalam keadaan buntu tiba-tiba teringat tentang rakan sekolah yang selama ini disisih­kan ekoran tidak ‘sepadan’ untuk berkawan dengannya yang bergaji besar.

Alangkah terkejutnya dia, selepas dihubungi, kawan tersebut tanpa banyak soal sanggup datang menolongnya dalam kegelapan malam.

Sejak peristiwa tersebut, dia tidak lagi memandang rendah rakan-rakan yang bekerja biasa-biasa dan membuang sifat sombong dalam diri.

Sombong merupakan sifat manusia yang berasa dirinya lebih baik, lebih tinggi dan mulia daripada orang lain selain merendahkan orang yang berada di bawah­nya.

Ada orang sombong dan berlagak kerana ilmu, jawatan, harta kekayaan, rupa yang tampan dan cantik.

Sifat sombong dan besar diri sebenarnya menyerupai sikap yang ada pada Iblis yang pernah menunjukkan keangkuhannya ketika Allah memerintahkannya supaya sujud kepada Nabi Adam.

Dengan takburnya, Iblis menjawab dirinya lebih mulia memandang­kan dirinya diperbuat daripada api, sedangkan Adam daripada tanah dan mengingkari perintah Allah.

Kisah kesombongan dan keangkuhan iblis telah dirakamkan oleh Allah dalam al-Quran menerusi Surah Al-A’raf, ayat 12.

Walau siapa pun kita, sentiasa perlu ingat bahawa sikap merendah diri dan tidak memandang hina orang lain akan memberi kesan mendalam dalam kehidupan harian.

Sikap sombong tidak akan membawa kita ke mana-mana, malahan boleh menjejaskan hubungan sesama manusia.