Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kenaikan elaun anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) pada 10 Mac lalu tepat pada masanya.

Kadar baharu ini menetapkan elaun sebanyak RM8 sejam bagi anggota dan RM9.80 untuk pegawai berbanding kadar lama iaitu RM6 dan RM7.80.

Najib yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan peruntukan RM20 juta untuk pembelian uniform digital pasukan Rela sebagai tambahan kepada peruntukan RM100 juta yang diumumkan sebelum ini.

Malangnya, berita kenaikan elaun Rela ini sengaja diputar belit oleh sebuah portal berita propembangkang yang mempertikaikan keikhlasan kerajaan.

Lebih jelik, penulisnya turut menuduh kerajaan mengabaikan kebajikan ahli Rela kerana tidak dilindungi tabungan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Pertubuhan Keselamatan Sosial. 

Sama ada penulisnya tahu atau pura-pura tidak tahu, Rela ditubuhkan atas semangat kesukarelaan dan itulah yang menjadi asas kekuatan pasukan ini.

Rela ditubuhkan pada 1972 di bawah Seksyen 2 Akta (Kuasa-kuasa Perlu) Darurat 1964 sebelum dijenamakan semula berdasarkan Akta Pasukan Sukarelawan Malaysia 2012 (Akta 752).

Sebahagian besar masyarakat hanya mengetahui peranan Rela apabila ada majlis keramaian dan membanteras pendatang asing tanpa izin sedangkan pasukan ini memiliki sejarah penubuhan yang panjang.

Sejarah Rela berkait rapat dengan Pasukan Home Guard yang ditubuhkan bertujuan bagi menjaga keselamatan setempat semasa darurat bagi mengekang ancaman pengganas komunis sebelum dibubarkan pada 1960 sebaik darurat diisytiharkan tamat.

Ciri-ciri Home Guard sebagai sebuah pasukan militia atau sukarelawan rakyat bersenjata kekal pada Rela hingga kini.

Anggota dan pegawai Rela tidak diberikan ganjaran secara tetap berikutan fungsinya sebagai sebuah pasukan sukarelawan.

Sebaliknya, mereka akan diberi elaun sebagai ganti hilang mata pencarian sekiranya menjalankan penugasan berbentuk operasi dengan had maksimum lapan sejam sehari termasuk menghadiri kurus kendalian pasukan berkenaan.

Begitu juga dengan pemberian pakaian seragam yang hanya akan dihadiahkan kepada mana-mana anggota Rela yang aktif dalam menjalankan operasi.

Buat masa ini, kerajaan telah bersetuju memberi pakaian seragam lengkap kepada 100,000 anggota Rela yang benar-benar aktif bagi membantu menjalankan aktiviti pasukan berkenaan sebagai insentif.

Anggota-anggota Rela diterapkan dengan asas disiplin se­perti pasukan tentera termasuk mengikuti latihan pengendalian senjata api seperti raifal M-16.

Dalam aspek kebajikan, semua anggota Rela mencarum dalam Skim Insurans Berkelompok dengan kadar caruman sebanyak RM20 setahun bagi setiap individu bagi memastikan mereka mendapat perlindungan setiap masa.

Bagi 100,000 anggota Rela yang aktif, kos caruman ini te­lah dibiayai oleh kerajaan sebagai insentif kepada sumbangan mereka

Mereka juga mendapat sedikit imbuhan daripada Tabung Amal Jariah Rela berdasarkan jenis musibah yang dialami. 

Bagi anggota Rela yang terkorban ketika bertugas, pertimbangan boleh dilakukan untuk membolehkan mereka mendapat pampasan daripada Tabung Amanah Perwira Negara dan Pertahanan Negara.

Tabung ini diletakkan di bawah Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Kementerian Pertahanan sebagai Sekretariat dalam menyelaras permohonan daripada 11 agensi pasukan keselamatan.

Bermula Januari lalu, seramai 500 anggota Rela telah ditugaskan bagi membantu pemantauan keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah di bawah agensi keselamatan yang telah dilantik selaras dengan Akta Majlis Keselamatan Negara.