Penulis juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada negeri itu kerana berjaya menjadi juara Piala Malaysia selepas 18 tahun menanti.

Kemenangan Perak itu bukan datang dengan mudah. Pada perlawanan itu, satu jaringan gol skuad ‘kejor yob kejor’ tidak dikira dan bermain dengan 10 orang. Walaupun, prestasi pengadil kurang memberangsangkan ia tidak menjadi batu halangan untuk skuad itu mencipta kemenangan.

Selepas menewaskan Terengganu, jurulatih skuad Perak, Mehmet Durakovic dilaporkan berkata bahawa pemainnya melakukan kesilapan namun mereka bangkit semula.

Durakovic juga menyatakan pengadil dan penjaga garisan juga melakukan kesilapan dan semua orang melakukan kesalahan kerana kita hanyalah manusia biasa.

Kenyataan itu melambangkan jiwa besar seorang jurulatih yang tidak menaruh dendam terhadap pengadil perlawanan tersebut yang boleh dijadikan teladan kepada rakyat negara ini.

Kejayaan para pemain Perak itu boleh dijadikan contoh. Bukan sahaja ahli sukan tetapi juga rakyat Malaysia boleh bangkit semula untuk kembali berjaya selepas mengalami kegagalan.

Bangkit semula selepas mengalami kegagalan merupakan lumrah kehidupan. Cuma setakat ini empayar Rom, Great Britain, Portugis, Itali, Pe­rancis, Sepanyol dan Ottoman yang gah pada suatu ketika kini hanya tinggal nama sahaja.

Namun, ramai juga manusia yang menjadi kaya tetapi kembali muflis kemudian berjaya semula. Ahli-ahli perniagaan dalam dan luar negara turut mengalami nasib yang sama.

Penyanyi lagu Bad Romance, Lady Gaga, ahli perniagaan Thailand, Sirivat Vorevetvuthikum yang membuka perniagaan sandwic dan sebuah syarikat milik Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pernah bankrap tetapi disebabkan semangat kuat mereka kembali berjaya.

Beberapa syarikat antarabangsa juga pernah diisytiharkan bankrap tetapi kembali pulih selepas mengalami penstrukturan semula. Syarikat General Motors, Kodak dan American Airlines antara contoh yang pernah mengalami situasi seperti itu.

Namun, ada juga syarikat besar yang terus bankrap dan tidak lagi kedengaran dalam dunia perniagaan. Terdapat seorang jutawan Malaysia yang gagal dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris dan Matematik pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Bagaimanapun, jutawan itu pernah menyatakan jika sesuatu kejayaan itu dianggap mustahil untuk dilakukan, maka ia akan menjadi benar-benar mustahil untuk menjadi realiti.

Kejayaan tidak datang bergolek. Janganlah mudah berputus asa jika mengalami kegagalan dalam kehidupan. Ambillah iktibar cerita kejayaan individu yang jatuh tetapi bangkit semula dalam dunia bisnes sebagai panduan dalam menempuh kehidupan.

Kehidupan tidak akan berakhir jika kita tersungkur dalam dunia perniagaan dan diberhentikan kerja disebabkan syarikat mengalami masalah kewangan atau musibah lain. Pasti akan ada jalan keluar daripada masalah kegawatan hidup jika kita berusaha mencarinya. Apa yang penting ialah ja­ngan tidak berusaha langsung untuk mencapai kejayaan.