Sindiran itu dilontarkan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Abu Bakar Yahya yang sebaliknya mahu semua pihak terbabit khususnya para pemimpin politik berhenti membuat desakan sedemikian dan menegaskan bahawa perkara itu bukan keutamaan negara dan rakyat buat masa ini.

Katanya, rakyat dan para pemimpin politik sepatutnya memberi fokus, melaksanakan peranan masing-masing dalam usaha membantu Perdana Menteri mengemaskini pentadbiran serta mengukuhkan semula kekuatan ekonomi negara agar semua rakyat dapat menerima limpahan yang sewajarnya.

"Mungkin ada pihak menganggap keperluan mengukuhkan ekonomi negara adalah tidak rasional untuk dijadikan alasan bagi menangguhkan peralihan kuasa. Bagi saya, anggapan seperti itu adalah dangkal, seolah-olah sengaja dicipta sebagai menjustifikasikan agenda peribadi.

"Isu pentadbiran dan ekonomi negara bukan satu perkara yang boleh kita ambil ringan. Sejarah membuktikan ada negara-negara runtuh manakala rakyatnya menderita berpunca daripada masalah dalam pentadbiran serta kecelaruan ekonomi antaranya terperangkap dengan bebanan hutang negara yang tinggi.

"Sepatutnya kita bantu dan memberi sokongan kepada Perdana Menteri, bukannya mendahului perkara yang bukan keutamaan buat masa ini. Utamakan negara dan rakyat berbanding kepentingan peribadi," katanya di sini hari ini.

Semalam, Ahli Parlimen Kapar, Abdullah Sani Abdul Hamid, menerusi laporan sebuah portal berita semalam yang meminta Mahathir memberitahu dengan jelas bilakah Perdana Menteri itu akan memberi laluan kepada Anwar untuk menggantikan jawatan tersebut.

Malah, Abdullah Sani turut menyifatkan tidak memadai sekiranya Mahathir terus menyatakan akan menyerahkan kuasa kepada Anwar yang juga Presiden PKR itu tanpa menyebut dengan jelas tempoh masa.

Dalam pada itu, Abu Bakar yang juga Setiausaha Politik Perdana Menteri itu mengingatkan para pemimpin politik supaya tidak sesekali lupa bahawa rakyat Malaysia yang telah meletakkan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri sekaligus memberi kepercayaan kepada Pakatan Harapan (PH) sebagai parti yang membentuk kerajaan pada hari ini.

"Mandat kepada Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri adalah daripada rakyat. Perkara ini juga telah diputus serta dipersetujui oleh semua pimpinan komponen PH.

"Jadi tidak ada isu untuk menyebut atau membangkitkan soal peralihan kuasa buat masa ini. Lebih baik kurangkan bercakap, banyakkan kerja dan jangan bersikap 'lebih sudu daripada kuah'." tegasnya. - K! ONLINE