Sebelum ini, ramai peminat durian mengeluh ke­rana raja buah kegemaran rakyat Malaysia itu agak mahal hatta durian kampung pun boleh mencecah RM20 hingga RM30 sekilogram, apatah lagi jenis yang lebih berkualiti tinggi seperti D24 dan Musang King.

Seorang rakan penulis yang singgah di satu lokasi tumpuan penggemar raja buah itu di luar Kuala Lumpur baru-baru ini meluahkan perasaan kecewanya dengan taktik licik peniaga yang ingin melariskan jualan.

Menurutnya, peniaga terbabit memasang sepanduk dan papan tanda yang agak besar tertulis ‘Du­rian RM6 sekilogram’ bagi menarik pelanggan singgah di kedainya.

Katanya, selepas berhenti, dia mendapati durian yang dijual pada harga diiklankan hanya beberapa biji sahaja dan yang ‘bertimbun’ adalah durian jenis D24 yang dijual pada harga RM20 sekilogram.

“Pekerja di kedai itu memberitahu, mereka tidak menjamin buah yang murah elok isinya dan memujuk pelanggan memilih durian mahal,” luahnya sedikit kecewa.

Situasi ini seolah-olah mahu menipu orang ramai secara halus dan mahu tidak mahu, mereka yang singgah sudah pasti membeli durian yang elok (D24) biarpun agak terkilan dengan taktik sedemikian.

Itu baru satu taktik licik peniaga buah durian bermusim dan menjadi mangsa adalah pelanggan yang terpesona dengan keenakan isi raja buah tersebut.

Terdapat juga pelanggan tertipu dengan peniaga durian yang memberikan buah yang elok jika dimakan di kedainya dan buah belum masak sepenuhnya atau kurang elok jika dibawa pulang.

Ini terjadi kepada penulis beberapa bulan lalu selepas singgah di sebuah gerai durian di Negeri Sembilan. Pada masa itu, ramai yang singgah dan terus makan di situ. Isinya pula nampak lembut dan menyelerakan.

Menyangka semua buah yang dijual di situ elok, penulis membeli dua biji durian pada harga agak mahal dengan jaminan diberikan peniaga bahawa kedua-duanya mempunyai isi yang lembut dan sedap. 

Alangkah kecewanya selepas tiba di rumah, hanya sebiji sahaja durian itu boleh dimakan walaupun isi­nya tidak seperti yang dilihat di kedai, manakala sebiji lagi langsung tidak boleh dijamah kerana isinya agak keras.

Selain dua contoh di atas, baru-baru ini kita dikejutkan dengan tindakan pegawai dan kakitangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menyita 250 kilogram durian bernilai RM6,300 dalam operasi selama dua hari di Bandar Sunway, Taman Medan, SS2 dan Kampung Dato Harun di Petaling Jaya, Selangor.

Antara durian yang disita dalam operasi itu ialah Musang King, Tracka, XO, D88, D101 dan D24 dan mereka dikesan tidak menggunakan alat timbang yang ditetapkan oleh KPDNKK selain tidak meletakkan tanda harga.

Dalam hal ini, para peniaga durian digesa agar menjalankan bisnes secara berhemah dan tidak mengambil kesempatan ke atas penggemar durian kerana ‘perangai buruk’ segelintir daripada mereka sudah pasti memberikan imej kurang baik kepada peniaga jujur.