Tidak hairanlah atlet, pasukan atau persatuan sukan di negara ini berdepan masalah penajaan, dalam erti kata lain kantung kosong.

Disebabkan tiada penajaan, potensi atlet atau sesebuah pasukan itu akhirnya terkubur.

Di mana silapnya? Adakah bidang sukan masih belum mendapat kepercayaan industri atau konglomerat di negara ini.

Seharusnya dalam sukan profesional, budaya penajaan sudah menjadi amalan yang dipraktikkan dengan hebat sekali.

Lain pula di Malaysia, sejak dua bulan kebelakangan ini, penulis menyaksikan pelbagai kisah atlet atau persatuan sukan dilihat terdesak mendapatkan penajaan.

Paling malang sekali, ada pasukan yang sememangnya sudah memiliki penajaan, tiba-tiba pihak penaja bertindak menarik diri menyebabkan pengurusannya sudah ‘pening kepala’.

Perancangan gah pada awalnya sudah pasti menjadi mimpi ngeri buat mana-mana pihak yang kehilangan penajaan.

Bagi yang belum memperoleh penajaan, mereka juga pening kepala memikirkan di mana mahu mencekau tajaan, pada masa sama sibuk dengan perancangan saingan musim baharu.

Mana satu yang mahu didulukan. Akhirnya, hebat tara mana sekalipun atlet itu, pres­tasi mereka sudah pasti terganggu.

Penulis berharap perkara itu tidak berlaku kepada pemain badminton profesional negara yang baru-baru ini meninggalkan Persatuan Bad­minton Malaysia (BAM).

Bukan rahsia lagi, beregu lelaki profesional, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying berada dalam fasa sukar terutama untuk mendapatkan penajaan.

Mereka terpaksa mengeluarkan duit poket sendiri untuk menyertai kejohanan badminton Thailand Masters dua minggu lalu tanpa adanya penaja.

Meskipun dalam keadaan sarat memikirkan penajaan, kedua-dua beregu itu masih mampu menampilkan aksi cemerlang apabila masing-ma­sing muncul juara kejohanan tersebut.

Pada penulis, dua beregu profesional itu sudah membuktikan bakat masing-masing di pentas antarabangsa dan sepatutnya pihak penaja berebut-rebut mendapatkan mereka.

Sebenarnya, penajaan da­lam bidang sukan memberi impak besar kepada mana-mana syarikat atau korporat bukan hanya memberi imej baik kepada organisasi bahkan ia membuatkan warga kerja mereka berasa bangga.

Penajaan mampu menjulang nama organisasi, reputasi jenama serta meningkat jualan produk masing-masing sebagai pulangan pelaburan.

Bukan setakat itu sahaja, kajian oleh King’s College London mendapati organisasi yang melakukan tajaan turut memberi kesan kepada motivasi warga kerjanya untuk bekerja lebih keras.

Kajian kolej itu membuktikan syarikat yang memberi tajaan membuatkan warga kerjanya berasa bangga apabila organisasi mereka terpampang pada acara-acara sukan dan mereka sanggup meningkatkan tahap kerja sesuai dengan prestij penajaan.

Penyelidikan oleh para sarjana dari University of Minnesota dan University of Memphis, Amerika Syarikat pula mendapati pekerja yang berminat dalam sukan akan menyatakan sokongan penuh terhadap tindakan majikan mereka membuat tajaan.

Bagi pekerja yang tiada minat dalam sukan pula turut positif apabila menyifatkan tindakan itu sebagai berbaloi dan merupakan tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Justeru, penulis berpendapat sudah tiba masanya syarikat, korporat dan industri di negara ini memberi sokongan kepada atlet-atlet sukan negara untuk meraih penajaan.

Bukan tiada yang tampil, namun jumlahnya masih kecil sedangkan Malaysia mempu­nyai atlet-atlet berpotensi mencapai status antarabangsa.

Jangan kedekut kerana bukan hanya atlet mendapat manfaat, namun organi­sasi bahkan negara ini berasa bangga dengan tindakan anda.