Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil berkata, perkara itu tidak dilarang namun penceramah perlu mempunyai etika dalam menjalankan tanggungjawab mengajar ilmu agama kepada masyarakat.

"Kita tidak larang penceramah untuk menjual barang namun ia perlu dilakukan selepas waktu ceramah atau mereka (penceramah) boleh meletak produk yang ingin dijual pada sudut lain dan orang ramai boleh membeli selepas waktu ceramah.

"Jangan ceramah satu jam, 45 minit digunakan untuk promosi barang seperti madu, kurma dan pakej umrah pula. Jika ingin buat promosi produk bagi tahu awal-awal kepada orang ramai dan ia perlu dibuat selepas waktu ceramah," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai sikap segelintir penceramah agama di negeri ini yang dilihat mengambil kesempatan menjual pelbagai jenis produk ketika memberi ceramah agama di surau atau masjid sehingga menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat yang hadir ke majlis ilmu agama itu.

Mengulas lanjut, orang ramai boleh membuat aduan kepada Jabatan Agama Islam Melaka sekiranya terdapat penceramah yang menunjukkan akhlak yang tidak baik, mempunyai masalah peribadi atau mengamalkan amalan yang bertentangan dengan Ahli Sunah Waljamaah. - Bernama