Mohd. Shafie berkata, banyak negara di dunia hari ini berhadapan banyak masalah dalaman serta konflik kerana kegagalan negara berkenaan mengurus isu-isu sensitif seperti itu dan kegagalan itu telah menjadi ancaman dalaman kepada negara berkenaan.

"Sebab itu, kita berharap rakyat di negara ini jangan permainkan persoalan agama, jangan persendakan persoalan kaum lain kerana ini unsur yang boleh memecah-belahkan kita.

"Sebagai rakyat Malaysia, yang penting kepada kita ialah kita mesti ada kesepaduan dan kesepakatan," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Sabah di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah 2018 yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Darell Leiking, Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Nor Rizan Mohd Thani dan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din. - Bernama