Menunjuk-nunjuk kemewahan atau harta peribadi hanya akan meningkatkan lagi risiko diri menjadi buruan orang-orang berniat jahat untuk mengambil kesempatan pada bila-bila masa sahaja tanpa mengira tempat.

Media sosial sememangnya terbukti menjadi platform mudah dalam mempromosikan pelbagai jenis produk perniagaan tanpa perlu mengeluarkan kos yang tinggi, namun ia turut mengundang pelbagai masalah sekiranya anda tidak berhati-hati dalam berkongsi maklumat diri.

Mengambil iktibar dalam kejadian yang menimpa seorang peniaga online di Rantau Panjang, Kelantan, Jumaat lepas, mangsa kerugian lebih RM150,000 selepas dirompak tiga suspek bertopeng.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 malam itu, mangsa turut cedera ditembak pada betis kanan dan ditinggalkan berlumuran darah dalam premis perniagaan miliknya.

Menjadi mangsa jenayah kekerasan bukan satu opsyen kerana kita boleh mengelak ia daripada berlaku sekiranya tahu limitasi apabila berada dalam media sosial.

Sememangnya semua dalam kalangan kita mahu popular dan meraih ‘like’ serta ‘followers’ ramai baik dalam Facebook, Instagram mahupun Twitter, namun harus kita ambil peduli juga mengenai keselamatan diri sebelum bertindak menjadikan diri sebagai “umpan” penjenayah.

Kita perlu tahu di luar sana ramai orang yang “ter­desak” mencari rezeki mudah bagi menyara kehidupan harian dek kerana malas bekerja secara halal maka jalan mudah ialah dengan melakukan jenayah.

Sekali merompak sudah cukup untuk bersenang-lenang beberapa bulan sebelum kembali mencari mangsa seterusnya yang terlalu dangkal pemikirannya untuk melihat bahawa ada pihak sentiasa memerhati gerak geri kita setiap masa dalam media sosial.

Tidak usah menunjuk-nunjuk kemewahan atau wang ringgit kerana ia secara tidak sengaja akan mengundang tetamu tidak dikehendaki pada bila-bila masa sahaja terutama ketika bersendirian.

Ada dalam kalangan kita mungkin terdesak serta tengah kesempitan dan apabila terlihat “promosi percuma” anda bersama-sama wang tunai yang banyak sudah pasti akan dikunjungi pelanggan tidak diingini.

Paling penting ialah nyawa bukan soal wang ringgit atau barang kemas yang dikebas perompak. Harta boleh dikumpul kembali sekiranya dikebas orang walaupun terasa sedikit sakit hati, namun nyawa bukan sesuatu yang boleh digantikan kembali dengan melerek kad kredit atau debit. 

Oleh itu, penting buat kita sebagai pengguna dalam media sosial untuk mengambil kira semua aspek keselamatan diri dan keluarga sendiri sebelum mendedahkan perkara-perkara yang boleh mengundang risiko jenayah.

Pada kita apabila sekali mencuba dan tiada perkara buruk berlaku bukan bermakna ia tiket untuk menghalalkan berkali-kali lagi perbuatan yang sama setiap masa.

Menarik minat penjenayah merupakan perkara terakhir yang kita perlu lakukan dalam media sosial terutama buat mereka yang sayangkan nyawa sendiri dan keselamatan ahli keluarga masing-masing.

Kita perlu ingat setiap ruang yang diberikan kepada penjenayah ia merupakan peluang keemasan tidak dapat dilepaskan sekiranya hasil lumayan menanti tanpa perlu bersusah payah untuk melakukan rompakan tidak sampai beberapa minit.

Perkara terakhir perlu diingat, jangan memperbodohkan diri sendiri semata-mata mahu meraih popular dalam media sosial yang akhirnya menjerat diri.

Justeru berfikirlah dua kali kerana nyawa anda lebih bernilai daripada wang ringgit atau harta benda yang dimiliki di dunia ini sebelum ia terlewat.