Semua dalam kalangan kita pastinya ingin bersama-sama keluarga tersayang pada hari lebaran nanti dan meraikannya dalam suasana penuh gembira sambil bermaaf-maafan serta menikmati juadah hari raya.

Dalam keghairahan menanti hari penuh bermakna buat umat Islam itu, sama-samalah kita menjaga diri masing-masing ketika berada di atas jalan raya nanti serta pengguna yang lain. Tidak perlu kita mencari ruang atau peluang untuk menjadi “Hero” siapa dahulu berjaya memuat naik gambar kemalangan dalam media sosial masing-masing jika ia berlaku di depan mata.

Harus diingat, masyarakat tidak memerlukan anda untuk menyukarkan lagi keadaan dengan mengeluarkan telefon pintar merakam kejadian yang berlaku. Ia bukan sahaja menyusahkan pengguna jalan raya lain, malah perilaku itu bahaya pada diri sendiri.

Biar sebaik mana sekalipun niat anda sama ada untuk melaporkan mengenai kejadian kemalangan tersebut, namun kita perlu tahu adakah ia benar-benar akan membantu serta perlukah kita berbuat demikian. Jika benar ingin membantu, sila pastikan anda hulurkan tangan menolong mangsa kemalangan dan bukan hulurkan telefon pintar untuk memuat naik gambar atau video ke dalam media sosial.

Anda kena berfikiran wajar dek kerana perbuatan tersebut pemandu yang berada di belakang terpaksa menempuh perjalanan pulang ke kampung halaman dalam kesesakan berbelas-belas kilometer. Jika anda masih berdegil untuk memuat naik gambar kemala­ngan, satu peringatan penting tolong pastikan video atau foto yang dirakam tidak keterlaluan sehingga menyentuh hati keluarga mangsa.

Ada dalam kalangan kita lupa bukan semua gambar atau video itu sesuai dimuat naik ke dalam media-media sosial. Kadangkala kita terlalu ghairah sehingga terlupa soal perasaan orang lain dengan berkongsi perkara-perkara yang sensitif. Kalau dilihat dalam media sosial sering berlaku ahli keluarga mangsa merayu supaya gambar-gambar atau video kemalangan yang keterlaluan dinyah daripada status dalam media sosial.

Kita perlu faham, tidak semua gambar atau video kemalangan itu boleh dikongsi sewenang-wenangnya terutama melibatkan imej menyayat hati sehingga boleh mengganggu emosi pihak keluarga mang­sa.

Oleh itu lebih baik kita fokus kepada pemanduan daripada menoleh untuk melihat sekiranya kita tidak ada niat untuk membantu mangsa kemalangan. Teruskan perjalanan supaya kenderaan di belakang kita tidak tersangkut pada kesesakan dan semua dapat pulang berhari raya ke destinasi masing-masing mengikut masa yang sepatutnya.

Apa pun yang berlaku di atas jalan raya biarkan ia diuruskan oleh pihak berwajib dan jika benar ingin menghulurkan tangan membantu pastikan keselamatan diri sendiri dipelihara sebelum berbuat demikian.

Kita tidak perlu sibuk untuk berhenti di bahu jalan jika sekadar ingin jadi penonton atau mera­kam gambar serta video kemalangan. Tolong ja­ngan burukkan lagi keadaan sedia ada dan bantu diri anda sendiri dengan membantu orang lain bagi melancarkan trafik tanpa perlu berbuat apa-apa serta fokus kepada perjalanan masing-masing.
Salam Aidilfitri buat semua, berhati-hati di jalan raya. Maaf zahir dan batin.