Laman Facebook dan Twitter sarat dengan kempen politik. Berita palsu juga bertebaran dan dijaja sesuka hati. Nampak­nya pada PRU-14, media sosial telah dijadikan platform paling dominan untuk mempromosi parti.

Itu belum dikira berapa ba­nyak live Facebook yang dibuat parti politik ketika menyampaikan ceramah di pekan atau di bandar. Sidang akhbar pun di­siarkan secara langsung. Itu semua mahu pancing hati rakyat. Senario itu nyata tidak boleh dielakkan. 

Saya masih teringat, lima tahun lalu iaitu ketika bahang PRU-13, saya baru sahaja me­langsungkan perkahwinan. Apabila majlis bahagia berlangsung di kampung halaman saya di Melaka, maka, peluang untuk berjumpa dengan rakan sekolah lama sangat tinggi.

Daripada puluhan rakan, saya cenderung menghabiskan masa berbual dengan sahabat wanita saya yang pernah menjadi rakan ak­rab ketika di sekolah menengah.

Disebabkan hampir 15 tahun tidak bersua (dia menyambung pengajian Doktor Falsafah di United Kingdom), banyak perkara yang saya tidak ketahui tentangnya. Oh, rupa-rupanya dia sudah berkahwin dan memiliki dua orang anak. 

Butiran perbualan kami semakin lama semakin serius. Daripada soal perkahwinan, sahabat saya ini tiba-tiba memberitahu tentang kerisauannya tentang penglibatan suaminya dalam arena politik. 

Saya kemudian mencelah dan bertanya: “Siapa suami kau? Ahli Parlimen ke? Apa namanya? Wah, itu sudah cukup bagus. Apa yang kau risau sa­ngat, baguskan berbakti kepada masyarakat?

Kata-kata saya membuatkan raut wajahnya berubah lalu dia bersuara: “Dia bukan Ahli Parlimenlah. Susah, aku ben­dera lain, suami aku bendera lain. Pada awalnya, semua okay tapi sejak dia bercampur gaul de­ngan orang politik, keluarga kami kucar-kacir.”

Daripada kata-katanya, saya menyimpulkan, berlaku pertembungan ideologi sesama mereka. Cerita sahabat saya, ketika kempen pilihan raya bermula, berlaku ‘perang’ besar antara dia dan suaminya. Ujarnya, lelaki itu kerap balik lewat ke rumah atas alasan bermesyuarat dan berkempen dengan ahli parti. 

Sudah kerap kali majikan menegur tentang ketepatan masa suaminya masuk kerja, ia langsung tidak diendahkan lelaki itu. 

Jika dahulu boleh membantunya mengambil anak daripada rumah jagaan, semuanya telah diabaikan. Beritahu sahabat saya, kemuncak kepada perkelahian antara mereka berdua apabila suaminya memaksanya terlibat sama dengan parti di­ikutinya.

Pendek kata, rumah tangga sahabat saya berkecamuk dan tunggang-langgang semenjak suaminya taksub de­ngan politik. 

Kisah rakan saya itu mengi­ngatkan saya dengan cerita seorang lagi rakan seuniversiti saya. Ketika saya membuat liputan di Gelang Patah, Johor (antara kawasan panas pada PRU-13), saya berjumpa dengan kawan lelaki saya yang sibuk berkempen untuk parti pembangkang.  

Sejak dahulu, saya memang tahu kecenderungannya dengan politik.  Bagi saya, ia bukan satu masalah. Malaysia sebuah negara demokrasi. Terpulanglah kepada dia. Dia yang mencorakkan kehidupannya sendiri. Apa juga paksi dan pendirian politiknya, saya hormati tanpa ada sikap prejudis.

Pun begitu, dia menunjukkan rasa kurang senang lebih-lebih lagi selepas saya memperkenalkan diri sebagai wartawan dari akhbar arus perdana. Wajahnya masam mencuka. Bayangkan, mi rebus yang masih belum sempat dijamah ditinggalkan begitu sahaja.

Paling membuatkan saya makan hati, pada saat saya bertembung dengannya yang sibuk mengibarkan ben­dera partinya, dia tidak pedulikan saya yang sedang melambainya. Perlakuannya sungguh aneh bagi saya.

Dua peristiwa itu, membuatkan saya berfikir panjang. Sememangnya, perbezaan pandangan sesama manusia adalah lumrah kehidupan. Namun, jika pertembungan ideologi politik memporak-perandakan hubungan antara keluarga, apa maknanya?

Dek kerana dunia politik, boleh memisahkan dan membinasakan hubungan antara rakan, bukankah itu perkara yang sangat merugikan. Ubah mentaliti dan ubahlah cara kita berfikir.