Kegagalan Sistem Pengurusan Keseluruhan Lapangan Terbang itu pada Rabu lalu telah menyebabkan puluhan penerbangan tertangguh, manakala ribuan penumpang terpaksa menghadapi kesukaran dengan beratur panjang di kaunter-kaunter daftar masuk selain masalah di kaunter-kaunter imigresen.

Malah, kejadian itu juga turut menjejaskan fungsi utama se­perti sambungan Wi-Fi, sistem paparan maklumat penerbangan (FIDS) serta sistem pengendalian bagasi di lapangan terbang yang mengendalikan kira-kira 60 juta penumpang, 399,827 perge­rakan pesawat serta 714,669 tan kargo udara pada tahun 2018.

Ekoran kegagalan tersebut, banyak andaian dibuat oleh pelbagai pihak terhadap punca kepada kejadian tersebut termasuklah berlakunya serangan siber terhadap sistem rangkaian di lapangan terbang tersebut, namun pihak Agensi Keselamatan Siber Negara (Nacsa) menyatakan insiden tersebut bukan berpunca daripada serangan siber.

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Raja Azmi Raja Nazuddin pula tidak menolak kemungkinan kejadian gangguan sistem di KLIA yang berlaku selama empat hari itu adalah akibat perbuatan berniat jahat dan sabotaj.

Ekoran itu, pihak bertanggungjawab perlu menyiasat secara terperinci mengenai kemungkinan tersebut kerana ia benar-benar telah mencalar reputasi KLIA yang semalam ini sentiasa dilihat sebagai antara lapangan terbang terunggul di rantau ini.

Kejadian seumpama itu, pas­tinya memberi pengalaman kurang manis kepada para penumpang khususnya yang baru pertama kali menggunakan KLIA yang sudah pasti membuat tanggapan kurang elok terhadap keupayaan pengendalian lapa­ngan terbang di negara kita.

Lebih-lebih lagi KLIA bukan sahaja merupakan pintu masuk utama para pelancong ke negara ini, malah ia turut menjadi salah satu lapangan terbang persinggahan atau transit kepada pergerakan ribuan penumpang pesawat udara ke rantau ini.

Jadi, sudah tentu masalah gangguan sistem yang berlaku ini boleh menjejaskan imej negara sekali gus akan memberi kelebihan kepada lapangan terbang-lapangan terbang pesaing di rantau ini yang sentiasa berusaha untuk menarik lebih ba­nyak kehadiran syarikat-syarikat penerbangan untuk beroperasi di tempat mereka.

Paling penting, pihak pengurusan KLIA dan KLIA2 iaitu MAHB perlu memastikan kejadian gangguan sistem seperti yang berlaku ini tidak lagi berulang pada masa hadapan.

Ia bukan sahaja untuk memastikan setiap pergerakan penum­pang dan pesawat yang dioperasikan oleh lebih 60 buah syarikat penerbangan dari seluruh dunia itu berjalan lancar dan selesa, malah ia secara tidak langsung mampu memberi gambaran kepada dunia bahawa kita mampu melakukan yang terbaik dari segi pengurusan lapangan terbang.

Dengan kedudukan KLIA sebagai lapangan terbang yang ke-23 paling sibuk di dunia dari segi jumlah pengendalian penumpang, sudah pasti kita tidak mahu reputasi lapangan terbang itu tercalar kerana masalah-masalah seperti yang berlaku ini daripada terus berlaku.

Oleh itu, pihak MAHB perlu melihat masalah ini secara serius supaya ia tidak lagi berulang dan sudah pasti mereka sudah mempunyai pelan-pelan tindakan yang tegas untuk menangani masalah ini dengan lebih efisien pada masa depan.

Jika benar, kejadian gangguan yang berlaku pada Rabu lalu itu berkemungkinan akibat perbuatan sabotaj, pihak yang bertanggungjawab perlu segera diburu dan dikenakan tindakan yang tegas kerana ia bukan sahaja te­lah menjejaskan reputasi KLIA, malah turut mencalar imej negara sebagai sebuah negara yang sentiasa mesra dalam melayan kehadiran pengunjung ke negara ini.

Apa-apa pun, KLIA mesti sentiasa menunjukkan kemampuannya untuk menyediakan perkhid­matan yang terbaik dalam menguruskan jutaan penumpang serta ratusan ribu pergerakan pesawat pada setiap tahun, kerana ia bukan sahaja akan berupaya menarik lebih banyak syarikat penerbangan lain untuk beroperasi di lapangan terbang tersebut pada masa depan, malah akan membolehkan ia bersaing dengan lapangan terbang-lapangan terbang bukan sahaja di rantau ini tetapi juga di seluruh dunia.