Terbaharu, kisah seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun dilaporkan telah melarikan diri daripada rumahnya di Pekan Kuala Selangor, Selangor hanya kerana dipercayai tertekan akibat dibuli di sekolah.

Ibu remaja tersebut memberitahu, kehilangan anaknya mula disedari selepas remaja itu enggan pulang ke asrama. Menurut beliau, anaknya memberikan pelbagai alasan sebelum menghilangkan diri. Syukurlah pelajar itu ditemui dengan selamat.

Tambah wanita itu, keja­dian buli tersebut telah lama berlaku dan dipendam oleh anaknya. Benar atau tidak kejadian buli itu dan sejauh mana teruk pelajar itu dibuli, biarlah ia ditangani ibu bapa dan sekolah.

Sedar atau tidak, pelajar kita memang akan terdedah kepada pembuli. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, buli ditakrifkan sebagai perbuatan mendera, mempermainkan seseorang, de­ngan tujuan untuk meng­gertak atau menakutkan orang yang berkenaan.

Apa yang dapat disimpulkan ialah, buli merupakan satu perbuatan kasar yang dilakukan terhadap seseorang yang dianggap lebih lemah dari diri si pelaku.

Buli terbahagi kepada dua iaitu buli fizikal dan buli mental.

Buli fizikal merujuk kepada perbuatan penggunaan anggota kaki mahupun tangan ke atas mangsa buli. Antara contoh buli fizikal ialah memukul, menendang, mencubit, menumbuk dan memaksa mangsa buli untuk melakukan kerja seperti basuh baju dan beli barang.

Buli mental atau kata lainnya ialah buli psikologi. Mi­salnya mengejek, mencaci, mencerca, memaki hamun dan memulaukan seseorang.

Kebanyakan individu tidak sedar mereka me­lakukan buli mental seperti mengejek, memanggil rakan dengan pelbagai nama kerana menganggapnya sebagai gurauan.

Kesan buli mental ini amat teruk dan ia boleh kekal selamanya kerana mangsa akan ingat kata-kata yang dikeluarkan si pembuli.

Penulis teringat satu kisah apabila anak saudara penulis berusia lapan tahun pulang dari sekolah dan menangis bercerita tentang rakannya yang menulis kata-kata gemuk, busuk, buruk di buku miliknya.

Anak saudara penulis tidak mahu ke sekolah, kata-kata itu benar-benar memberi kesan kepadanya.

Hal itu diberitahu kepada guru kelas, bukan mahu tindakan diambil tetapi saudara penulis mahu guru memberi nasihat dan memerhatikan perkara sedemikian, tidak mahu ia menjadi barah.

Mungkin nampak kecil tetapi itulah bibit-bibit kes buli di sekolah.

Paling penting di sini adalah, ibu bapa jangan ambil mudah kelainan pada tingkah laku anak-anak, jika mereka mengadu dibuli rakan, siasat dan dapatkan kesahihan perkara itu. Berbincang dengan guru dan pihak sekolah.

Kita perlu mencegah dan jangan anggap ia perkara biasa atau ‘asam garam’ hidup bersekolah. Memang benar, kes buli bukan satu perkara baharu tetapi ia adalah perbuatan yang patut dihentikan. Semua pihak wajib memainkan peranan membanteras gejala yang sememangnya sudah kritikal ini.

Ibu bapa perlu berlapang dada sekiranya tindakan diambil kepada anak mereka akibat membuli rakan. Sudah pasti hukuman yang diberikan berbentuk pengajaran.

Statistik Kementerian Pen­didikan seperti yang dilaporkan akhbar sebelum ini menunjukkan terdapat lebih daripada 14,000 kes buli di sekolah-sekolah di seluruh negara antara tahun 2012 dan 2015 dan sebahagian besar melibatkan penderaan fizikal.

Bukankah ia besar dan akan menjadi ‘barah’ jika tiada tindakan menangani pembuli dan mangsa yang dibuli.

Mangsa buli perlu diberi perlindungan dan sokongan supaya ia tidak jejaskan keyakinan mereka manakala pembuli perlukan bantuan kaunseling untuk menghentikan sikap suka membuli mereka.