Pada waktu itu, perbuatan mencacah tatu dalam kalangan orang-orang biasa ataupun para selebriti boleh dikatakan sangat jarang lebih-lebih lagi dalam kalangan umat Islam yang me­nganggap perbuatan tersebut sebagai haram di sisi agama.

Bagaimanapun, pada hari ini, amalan mencacah tatu dalam kalangan masyarakat dunia sama ada melibatkan selebriti, ahli sukan ternama, malah orang-orang kebanyakan bagaikan sudah menjadi satu kemestian dan ia dianggap sebagai salah satu seni yang sangat istimewa.

Apa yang menarik, amalan tersebut juga sebenarnya sudah mula menular di negara ini khususnya melibatkan mereka yang bukan beragama Islam dengan alasan tatu yang dicacah itu membawa maksud-maksud tertentu yang istimewa dan perlu diabadikan sebagai kenangan pada badan masing-masing.

Bagaimanapun, sama ada kita sedar ataupun tidak, perbuatan mencacah tatu itu kini sebenarnya sudah mula menular dalam kalangan masyarakat Melayu Islam kita yang secara diam-diam sudah berani berbuat demikian kononnya untuk mengikut peredaran zaman.

Perbuatan itu mereka lakukan secara sembunyi-sembunyi kerana mereka tahu mencacah tatu boleh menyebabkan mereka ‘dikutuk’ atau dicemuh oleh masyarakat.

Itulah senario yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini, kerana sebahagian daripada mereka sudah mula boleh menerima amalan negatif atau budaya Barat yang dahulunya dianggap sebagai satu kesalahan yang besar di sisi agama, tetapi kini sebagai satu perkara yang perlu diikuti tanpa sebarang rasa malu atau bersalah.

Terdapat banyak perbuatan negatif lain yang kini sudah mula meresap ke dalam masyarakat kita seperti kumpulan-kumpulan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), lelaki berpakaian wanita, bersekedudukan antara lelaki dan wanita bukan mahram serta perbuatan bertindik bagi lelaki.

Semua perbuatan ini dahulunya amat sukar diterima masyarakat sehinggakan siapa sahaja yang terlibat dengan gejala ini akan dicemuh dihina orang ramai, namun hari ini keadaan bagaikan sudah berubah kerana sudah ada pihak-pihak yang terlibat dengan perbuatan tersebut sudah berani mendedahkan identiti mereka secara terang-terangan.

Lebih malang, atas tiket hak asasi manusia, terdapat segelintir daripada masyarakat kita kini bagaikan sudah mula boleh menerima dan ada yang sanggup mempertahankan perbuatan yang dianggap tercela oleh agama itu.

Kalau dahulu, mereka yang terlibat dalam kelompok berkenaan malu untuk berbincang mengenai amalan negatif tersebut secara terbuka itu, tetapi kini kononnya sesuai dengan peredaran zaman, ia sudah mula dilakukan secara terbuka dengan rasa bangga.

Dengan perkembangan pesat dunia tanpa sempadan pada masa kini, pelbagai aplikasi sosial melibatkan semua kumpulan tersebut seperti LGBT, geng bertindik, geng bertatu atau kumpulan mencari teman sosial bebas mencari ahli-ahli mereka secara terbuka.

Hal ini seterusnya telah menyebabkan komuniti mereka menjadi semakin aktif dan jumlah ahli mereka juga meningkat dengan cepat dan yang menjadi mang­sa adalah anak cucu kita sendiri.

Sehubungan itu, atas dasar kepentingan agama dan masyarakat Islam seluruhnya, perkara ini seharusnya dipandang serius oleh kerajaan, pihak berkuasa agama serta semua pihak yang mengakui diri mereka sebagai penganut agama Islam kerana kita bimbang semua perbuatan yang menyalahi hukum agama itu akan terus berleluasa sekiranya tidak dibendung secara serius dari sekarang.

Sekiranya kita gagal bertindak untuk membanteras ke­giatan itu, kita khuatir satu hari nanti perbuatan seperti mencacah tatu dalam kalangan umat Islam, kegiatan kumpulan LGBT atau amalan-amalan maksiat lain suatu hari nanti akan dilakukan secara terbuka oleh masyarakat kita tanpa sebarang rasa malu atau bersalah.

Lebih teruk, pada masa itu nanti, semua amalan negatif tersebut tidak lagi dianggap sebagai satu perbuatan yang hina dalam masyarakat kerana ia sudah mula dapat diterima umum.