Bagi penulis, skandal rasuah dalam arena bola sepak negara seakan-akan tidak ada titik noktahnya. Timbul persoalan, sampai bilakah gejala tidak bermoral ini akan berterusan. Penulis sendiri mula risau adakah sejarah lama akan kembali berulang.

Jika ada yang belum tahu atau sudah terlupa, sukan bola sepak negara pernah digemparkan dengan skandal rasuah pada tahun 1994. Ketika itu, baik pemerhati, penyokong mahupun peminat bola sepak tempatan menyifatkan skandal rasuah pada 1994 sebagai petanda bermulanya kejatuhan bola sepak Malaysia.

Pada masa itu, lebih 100 pemain serta jurulatih yang disyaki mengatur keputusan perlawanan telah ditahan pihak berkuasa bagi membantu siasatan. Akibatnya, 58 daripada mereka dikenakan hukuman gantung daripada terlibat dalam sebarang aktiviti bola sepak selama satu hingga empat tahun. 

Lebih buruk, kira-kira 20 pemain dan jurulatih yang didapati bersalah kerana terlibat dengan skandal rasuah itu telah diberhentikan. 

Beberapa pemain pula dibuang daerah dan dihukum seumur hidup dengan tidak dibenarkan menyertai pertandingan bola sepak kelolaan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Kesan daripada hukuman tersebut, Malaysia kehilangan barisan pemain handalan yang ramai. Boleh dikatakan kelompok pemain terbabit adalah antara yang terbaik dimiliki Malaysia ketika itu. 

Kehilangan mereka ternyata memberi kesan terutamanya terhadap prestasi skuad kebangsaan di pentas antarabangsa.

Bagaimanapun, dalam satu mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM tahun lalu, kesemua mereka telah mendapat ‘lampu hijau’ untuk kembali aktif dalam aktiviti bola sepak sama ada di peringkat negeri mahupun kebangsaan.

Itu cerita lama yang sengaja penulis imbas sebagai peringatan kepada kita semua terutamanya pemain dan pegawai bola sepak. Biarpun pahit dan meninggalkan memori hitam, ia pastinya menjadi satu sejarah yang memberi impak mendalam kepada penyokong dan peminat bola sepak tempatan. 

Jika diamati, terdapat beberapa faktor berlakunya rasuah dalam sukan bola sepak. Berdasarkan pengamatan serta temu bual penulis dengan beberapa ‘orang kuat’ bola sepak negara, antara faktornya adalah sikap tamak pemain atau pegawai terlibat.

Faktor lain termasuklah kelemahan pihak pengurusan pasukan atau kelab terutamanya dalam urusan pembayaran gaji dan bonus selain kehadiran bookie yang secara tidak langsung membuka peluang lebih besar berlakunya skandal rasuah.

Sudah pasti gejala tidak bermoral ini akan mengundang serta mencetuskan kemarahan kepada pihak yang jujur dan prihatin dalam sukan bola sepak. 

Kesan daripada rasa tidak puas hati jika keprihatinan mereka tidak diambil kira oleh pihak bertanggungjawab akan membawa kepada kehancuran bola sepak Malaysia.

Selepas kira-kira 23 tahun cerita skandal rasuah pada 1994 berlalu, adakah kita sebagai ‘pemain ke-12’ skuad kebangsaan hanya mahu melihat dan mendengar kembali berita-berita negatif tentang Harimau Malaya terpapar di dada-dada akhbar tempatan atau kaca televisyen.

Sudah-sudahlah kita kecewa dek prestasi tidak menentu dan merudum skuad kebangsaan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Jangan ditambah lagi luka dengan cerita kurang enak didengar dan dilihat mengenai barisan pemain bola sepak negara.

Kini semua pihak yang terlibat harus memainkan peranan lebih proaktif untuk mengelakkan skandal rasuah kembali menular dalam arena bola sepak negara. 

Kepada pemain dan pegawai bola sepak, jadilah individu yang mempunyai integriti tinggi kerana anda membawa imej sukan negara.