Ironi, hidup sebenar tidak semudah itu. Ramai yang tidak tahu apa yang mungkin terjadi pada masa akan datang. Boleh jadi syarikat tempat anda bekerja mengalami kerugian dan kesempitan wang.

Jangan fikir syarikat tempat kita bekerja akan stabil kewangannya meskipun ia sebuah syarikat yang besar. Untuk tempoh akan datang atau lima tahun lagi kita tidak tahu apa yang akan terjadi.

Jika berlaku sedemikian, bagaimana dan apakah pilihan anda untuk meneruskan hidup?

Sebab itu mengapa kita tidak boleh mengambil risiko dengan bergantung pada satu sumber pendapatan sahaja. Hal ini kerana, jika kondisi ekonomi menjadi buruk, maka sulit untuk kita terus bertahan.

Hakikatnya, kita harus mencari sumber pendapatan pasif untuk diri sehingga kita mampu meningkatkan jumlah pendapatan sampingan.

Saya bagi contoh dua individu hebat yang pada asalnya melakukan pekerjaan biasa-biasa sahaja, namun kini merupakan antara individu terkaya di dunia.

Jeff Bezos misalnya. Siapa sangka dahulunya dia pernah bekerja di restoran McDonald’s pada tahun 1980-an, tetapi kini menjadi orang terkaya di dunia. Begitulah nasib manusia jika kita sendiri yang menentukan hala tuju hidup kita.

Bezos hakikatnya hanya dibayar dengan gaji seba­nyak AS$2.69 (RM11.30) sejam di restoran tersebut. Dia kemudiannya menamatkan pengajian dalam bidang sains komputer dan bekerja sebagai penganalisis saham di sebuah syarikat saham yang bernama Fitel sebelum mengasaskan Syarikat Amazon. Menerusi majalah Forbes, dia dinamakan sebagai ‘Orang Terkaya Dalam Sejarah Moden’ selepas kekayaannya meningkat kepada AS$150 bilion (RM628 bilion) pada Julai 2018.

Lain pula bagi Jack Dorsey. Pekerjaan pertamanya adalah sebagai seorang model dan kemudian dia beralih kepada jurutera komputer. Dia yang begitu obses dengan syarikat penghantaran ketika usia remaja telah membina aplikasi untuk syarikat penghantaran pada tahun 1991 di New York. Siapakah dia? Dialah pengasas media sosial yang terkenal iaitu Twitter dan kini mempunyai nilai kekayaan sebanyak AS$5.8 bilion (RM24 bilion).

Barangkali kita tidak mampu menjadi seperti dua individu hebat di atas. Namun, keazaman dan kegigihan yang dimiliki mereka harus kita contohi.

Tanpa kita sedar dengan sedikit wang yang dimiliki, kita juga mampu melakukan pekerjaan baharu yang sesuai dengan minat dan bakat yang dimiliki.

Banyak usaha sampingan yang boleh kita bangunkan seperti menjual barang-barang secara online, membuat bisnes kecil-kecilan seperti makanan, membuat video blog di YouTube, menjual produk kecantikan dan bermacam-macam lagi. Cuma sama ada kita mahu merea­lisasikan sahaja angan-angan tersebut atau hanya bergantung pada pekerjaan tunggal semata-mata.

Pekerjaan sampingan sifatnya lebih fleksibel dan seharusnya tidak memberi banyak tekanan. Akan lebih baik jika pekerjaan sam­pingan yang dilakukan sekali gus untuk menyalurkan hobi dan mengurangi stres akibat pekerjaan utama anda.

Ingatlah, dalam hidup, kita tidak hanya membayar komitmen kereta dan rumah, sebaliknya kita juga mahu membahagiakan diri dengan membeli barangan mewah atau pergi bercuti bersama keluarga mahupun teman baik. Ironi, semua itu akan jadi mustahil jika kita hanya bergantung pada pendapatan tunggal.