Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pelancongan, Seni dan Budaya, Pembangunan Keusahawanan negeri Kedah, Mohd Asmi­rul Anuar Aris semasa memohon maaf di atas peristiwa itu memberikan alasan bahawa ia berlaku kerana kesilapan kontraktor.

Menurut laporan media, beliau berkata, kesilapan itu timbul apabila syarikat yang men­cetak papan maklumat serta kain ren­tang majlis perasmian tugu Jepun itu salah menterjemah maklumat yang disediakan pihak Konsulat Jepun.

Terdapat juga laporan, beliau menyatakan perkara itu berlaku kerana kesilapan teknikal oleh pihak Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah.

Walau apa pun alasan diberikan, yang pasti majlis tersebut mengguris hati banyak pihak khususnya golongan yang merasai penderitaan semasa Jepun menjajah Tanah Melayu bermula 15 Februari 1942.

Sebelum serangan tersebut, penduduk Tanah Melayu disogokkan dengan propaganda yang di­sebarkan oleh Jepun bahawa kuasa Barat perlu diusir daripada Asia dengan slogan ‘Asia untuk Orang Asia’.

Terpengaruh dengan dakyah tersebut, banyak pihak bersorak gembira apabila mendengar beri­ta tentera Jepun telah mula mendarat di Kota Bharu.

Rakyat ketika itu terbayang pelbagai janji-janji manis yang di­tabur oleh ejen-ejen Jepun bahawa Tanah Melayu akan lebih maju dan makmur apabila Bri­tish berjaya diusir daripada Asia.

Kegembiraan itu bagaimanapun tidak lama apabila tentera Jepun kemudian menunjukkan ‘wajah’ mereka yang sebenar. Mereka datang bukan bertujuan membantu memerdekakan Tanah Melayu tetapi sebenarnya menjajah bagi mengutip segala hasil dan khaza­nah untuk dibawa pulang ke negara Matahari Terbit itu.

Penduduk tidak sedar bahawa ketika itu Jepun berhadapan kesukaran untuk mendapatkan sumber bahan mentah apabila menerima sekatan ekonomi daripada kuasa Barat selepas ter­babit dalam banyak peperangan.

Semasa Jepun memerintah Tanah Melayu, penduduk yang ingkar dan enggan mematuhi arahan Jepun akan diseksa. Bagi yang cuba menentang akan dibunuh. Ramai kaum wanita dirogol dan bukan sedikit kanak-kanak menjadi korban muncung senapang dan mata pedang tentera Jepun.

Ada yang menjadi mangsa kerahan tenaga membina landasan kereta api Siam-Burma (kini Thailand-Myanmar). Terdapat buku sejarah menyebut hampir 200,000 orang menjadi buruh paksa dan sebilangannya mati atau hilang begitu sahaja tanpa kubur hingga ke hari ini.

Ketika itu, ekonomi negara lumpuh sama sekali, segala hasil pertanian seperti padi mesti di­serahkan kepada Jepun. Ramai yang hilang pekerjaan. Akibatnya penduduk kebuluran sehingga terpaksa menjadikan ubi sebagai makanan gantian.

Banyak sebenarnya yang boleh diceritakan mengenai azab dan sengsara penduduk ketika di bawah pemerintahan Jepun.

Penderitaan selama tiga tahun enam bulan itu bagaimanapun semakin hari semakin dilupakan, apa lagi kepada generasi WeChat yang tidak pernah merasai sukarnya bernafas di bumi sendiri dengan saban hari dibayangi muncung senapang dan mata pedang Samurai.

Kita bimbang ‘kesilapan’ yang didakwa sebagai masalah teknikal ini dipandang remeh sehingga boleh menyebabkan generasi muda mendapat mesej yang salah mengenai tentera Jepun.

Jika tentera Jepun diangkat sebagai ‘wira’ bagaimana pula dengan pejuang-pejuang Tanah Melayu seperti Leftenan Adnan dan lain-lain yang terkorban mempertahankan tanah air ketika serangan tersebut. Bagaimanapun pula dengan datuk nenek kita dahulu yang mati akibat diseksa dan dibunuh?

Sukar untuk dibayangkan mengapa kesilapan tersebut berlaku apabila majlis perasmiannya melibatkan anggota Persatuan Sejarah dan Exco Kerajaan Negeri sendiri. Apakah tidak ada langsung individu yang menyedari kesilapan yang terpampang pada kain ren­tang majlis itu.

Justeru, marilah kita semua mengambil iktibar daripada insiden berkenaan agar semua pihak tidak mengambil ringan kepada ‘masalah teknikal’ yang boleh memberikan impak yang amat besar.

Jangan pula suatu hari nanti ada lagi pihak yang ‘tersilap’ membina tugu wira untuk anggota Komunis.