Bapa mereka, Muhammad Hamadi Zakaria, 31, dan ibu, Nur Syuhadah Zaini, 31, maut dalam kemalangan membabitkan tiga buah motosikal di lorong motosikal Lebuh Raya Persekutuan di Petaling Jaya, Selangor pada Selasa lalu.

Insiden pada pukul 8.30 pagi itu berlaku apabila dua motosikal jenis Yamaha LC135 dan Suzuki ­Axelo bergesel sesama sendiri sebelum terjatuh di tengah jalan.

Pasangan suami isteri yang menunggang motosikal berkuasa tinggi jenis Honda CBR500 yang datang dari belakang tidak sempat mengelak dan me­langgar motosikal Suzuki Axelo.

Mereka kemudiannya terbabas dan merempuh penghadang jalan di sebelah kiri sebelum maut di tempat kejadian.

Perjalanan Muhammad Hamadi bersama isteri­nya ke tempat kerja mereka yang menjadi rutin setiap hari berakhir di lorong motosikal lebuh raya itu.

Namun, masih ramai pasangan suami isteri menggunakan lorong itu untuk berulang-alik mencari rezeki setiap hari. Sepanjang perjalanan, mereka terdedah dengan risiko kemalangan.

Selain Lebuh Raya Persekutuan, terdapat lebuh raya lain yang turut menyediakan lorong motosikal seperti di Lebuh Raya Koridor Guthrie dan Lebuh Raya Shah Alam dengan tujuan mengelakkan kemalangan.

Bagaimanapun, lorong yang sempit, tidak sesuai untuk motosikal berkuasa tinggi kerana ia lebih selamat digunakan hanya pada kelajuan sehingga 70 kilo­meter sejam seperti motosikal kapcai.

Namun, kebanyakan motosikal kapcai sekarang seperti Honda RS150 dan Yamaha Y15, masing-masing dikuasakan dengan enjin 150cc. Sudah tentu cara tunggangan berbeza dengan motosikal 110cc.

Susur keluar masuk yang sempit dan memerlukan penunggang untuk melihat sekeliling sebelum keluar atau masuk ke lorong motosikal dengan selamat, mendedahkan mereka terhadap risiko dirempuh dari arah belakang.

Selain itu, sebahagian kawasan lorong motosikal tidak diselenggara dengan baik. Berlubang, berpasir dan berair selain cahaya lampu yang tidak cukup terang antara situasi yang membahayakan pengguna.

Terdapat juga netizen mendakwa besi penghadang lebuh raya di bahagian belakang umpama mata pisau. Jika penunggang motosikal merempuh besi itu, pasti mereka akan cedera parah.

Maka, tidak hairanlah jika kita sebagai pemandu kereta terlihat ada segelintir penunggang motosikal yang tidak menggunakan lorong khas yang disediakan di lebuh raya.

Rakan penulis sendiri yang menunggang motosikal berkuasa tinggi sanggup dikenakan saman daripada melalui lorong motosikal yang dianggapnya tidak selamat.

“Biar duit melayang, asalkan jangan nyawa yang melayang,” kata rakan penulis itu.

Pihak berwajib perlu segera mengkaji tahap keselamatan pengguna di lorong motosikal berdasarkan situasi semasa.

Penunggang motosikal pula perlu lebih berhati-hati ketika melalui laluan ini. Jangan akhiri perjalanan hidup anda di lorong motosikal.