Selepas pemain Pahang, Mohamadou Sumareh mencipta sejarah menjadi pemain naturalisasi pertama negara untuk memperkuatkan skuad Harimau Malaya, FAM terus mengorak langkah dengan mencari beberapa lagi pemain luar yang dilihat mampu memberikan sumbangan untuk diberikan taraf kewarganegaraan.

Melalui tiga langkah utama iaitu perancangan jangka pendek, sederhana dan panjang, keputusan yang dibuat oleh FAM untuk mendapatkan pemain naturalisasi nampaknya tidak mendapat halangan.

Sekurang-kurangnya, kelebihan yang dimiliki pemain ini mampu menjulang prestasi skuad negara atau paling tidak pun, mereka ini boleh membantu pemain tempatan untuk berada pada tahap yang lebih baik.

Terbaharu, nama bekas pemain Kedah dan Melaka, Liridon Krasniqi serta penyerang Kuala Lumpur, Guilherme De Paula mungkin bakal menyarung jersi keramat Harimau Malaya selepas FAM sudah mendapatkan persetujuan daripada kedua-dua mereka dan telah menghantar segala dokumen kepada pihak Kementerian Dalam Ne­geri untuk pengesahan dan tindakan lanjut.

Selain itu, kita juga difahamkan bahawa FAM sedang menilai beberapa pemain muda berdarah kacukan Malaysia yang berada di luar negara untuk diberikan taraf kewarganegaraan.

Tidak salah untuk mencuba mekanisme pemain naturalisasi ini kerana ia juga merupakan satu cara yang baik untuk mengangkat prestasi pasukan.

Sekiranya berjaya, ia merupakan keputusan yang baik tetapi sekiranya gagal, mungkin kita perlu memikirkan cara lain yang lebih efektif.

Bagaimanapun, ketika semua pihak teruja me­nyambut kehadiran pemain naturalisasi ini, kita perlu lebih realistik bahawa satu atau dua pemain ini tidak mungkin mampu mengubah nasib sesebuah pasukan kerana bola sepak bukanlah sukan yang bersifat individu.

Andainya kita memberikan taraf kewarganegaraan kepada Lionel Messi atau Cristiano Ronaldo untuk beraksi di dalam skuad Harimau Malaya sekali pun, ia belum pasti mampu meletakkan prestasi bola sepak negara di tahap yang lebih tinggi.

Sebagai sebuah pasukan bola sepak, untuk menjadikannya sempurna dan mantap, kesemua 11 pemain di dalam padang haruslah mencapai stan­dard yang sepatutnya sama ada dari aspek kecergasan, kemahiran teknikal dan persefahaman.

Maka, dalam keghairahan kita memburu dan mencari khidmat pemain naturalisasi, seharusnya kita tidak boleh melupakan program pembangunan akar umbi bermula di peringkat kanak-kanak lagi kerana pada usia sebegitu, mereka ini masih boleh dibentuk terutama dari sudut untuk menjadi seorang pemain bola sepak yang profesional.

Tidak dapat dinafikan program tersebut masih ada tetapi pelaksanaannya perlu di nilai semula kerana kita tidak mahu ia dijalankan seperti melepaskan batuk di tangga sebaliknya kita perlu memberi nilai tambah agar ia menjadi satu rantaian yang utuh dalam membekalkan bakat-bakat bola sepak untuk negara.

Akhirnya, penulis suka untuk memberikan contoh apa yang dilakukan oleh Iceland, sebuah negara yang hanya memiliki popu­lasi sekitar 340,000 penduduk tetapi layak beraksi di saingan Euro 2016 dan mara ke suku akhir tanpa seorang pun khidmat pemain naturalisasi.