Jaminan tersebut diberikan berikutan kerjasama terbaharu pihaknya dengan penyedia perkhidmatan kiriman barangan terkemuka dunia, DHL eDagang (DHL).

Ketua Operasi Shopee, Esten Mok berkata, penghantaran keesokan hari itu dapat dinikmati oleh pelanggan terutamanya kepada pihak pembeli di lebih 92 peratus kawasan seluruh negara.

Menurut beliau, kerjasama tersebut dijalinkan bagi memberikan lebih banyak manfaat kepada pelanggan bukan sahaja dari segi mempercepatkan masa penghantaran, malah pengalaman logistik yang efisen.

“Industri e-dagang tidak mungkin wujud tanpa sistem logistik yang kukuh dan cekap kerana ia merupakan elemen penting dalam keseluruhan proses membeli-belah dalam talian.

“Shopee sebagai platform yang mempunyai lebih 10 juta pengguna dan pengkalan data yang semakin berkembang, kami perlu terus meningkatkan keupayaan bagi memenuhi keperluan pengguna yang sentiasa berubah-ubah,” katanya pada majlis pelancaran kerjasama antara Shopee dengan DHL di sini hari ini.

Selain itu, Esten berkata, para pembeli turut dapat menikmati penghantaran barangan yang dipesan melalui aplikasi dan laman web Shopee secara percuma terus ke pintu rumah mereka tanpa perlu menanggung sebarang kos penghantaran.

Peruncit atau pembekal barangan turut memperoleh manfaat daripada kerjasama tersebut dengan perkhidmatan pengutipan bungkusan dari premis secara percuma serta meninggalkan bungkusan yang ingin dihantar di DHL ServicePoint terletak di lokasi-lokasi strategik seluruh tanah air.

Sementara itu, Pengarah Urusan Asia Tenggara DHL, Kiattichai Pitpreecha berkata, pihaknya teruja dengan usaha pengintegrasian perkhidmatan penghantaran mereka bersama Shopee bagi memberikan pengalaman membeli-belah atas talian yang lebih mengujakan.

“Kami teruja dapat bekerjasama dengan Shopee di Malaysia untuk menawarkan pengalaman penghantaran yang mudah dan lancar.

“Sejajar dengan hasrat kami untuk menjadi syarikat logistik e-dagang pilihan utama, kami berusaha untuk memudahkan proses peruncit membuat penghantaran dan pembeli menerima bungkusan mereka,” katanya.

Sementara itu, Ketua Digital & eDagang - CPD, L’Oreal Malaysia, Vysia Yong Vee Ysia berkata, sebagai sebuah jenama barangan pengguna gerak pantas yang terkemuka, pihaknya telah menyaksikan evolusi lanskap e-dagang yang amat pantas sejak akhir-akhir ini, dengan peningkatan jumlah pengguna yang beralih ke platform dalam talian seperti Shopee untuk membeli-belah.

"Kami percaya bahawa keperluan dan kecenderungan penguna amat berbeza apabila membeli-belah dalam talian kerana mereka fokus terhadap kepelbagaian pilihan, kepantasan dan kemudahan,"ujar beliau.

Beliau menambah, pengintegrasian sistem DHL eDagang di Shopee akan membantu pihaknya untuk menawarkan perkhidmatan yang lebih baik kepada pengguna sejajar dengan usaha kami untuk meniti era digital yang lebih pesat. – K! ONLINE