Apakah yang akan bermain di fikiran anda? Adakah panggilan telefon itu untuk memberitahu tentang kejayaan atau kehebatan anak anda di sekolah?

Penulis yakin, jantung anda pasti berdegup kencang sebaik menerima panggilan telefon itu.

Selalunya, pihak sekolah akan menghubungi anda untuk menyampaikan ‘berita tidak baik’ tentang anak anda.

Mungkin anak anda kurang sihat, demam, mengalami kecederaan atau melanggar disiplin sekolah pada hari tersebut.

Namun, pernahkah anda membayangkan bahawa panggilan telefon itu adalah untuk memberitahu tentang keadaan anak anda yang terkorban selepas ditimpa kemalangan?

Lebih malang, kemalangan itu terjadi di dalam kawasan sekolah yang berpunca daripada kecuaian manusia.

Itulah yang berlaku ke atas seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun di Sekolah Menengah Kebangsaan Tuanku Abd. Rahman, Gemas, Tampin, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, mangsa, pelajar tingkatan dua, Nur Afini Roslan maut di tempat kejadian manakala dua pelajar lelaki masing-masing berusia 13 dan 14 tahun cedera di kepala serta telinga selepas terkena objek tersebut.

Siasatan awal mendapati bilah pisau mesin rumput itu tercabut daripada traktor tersebut sewaktu sedang melakukan kerja-kerja memesin rumput. 

Objek itu melantun ke arah kepala mangsa yang ketika itu sedang menjalani latihan kawad di padang sekolah tersebut.

Ekoran daripada kejadian itu, pemandu traktor berusia 26 tahun yang berasal dari Tanjung Keling, Melaka telah ditahan untuk diambil kenyataan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan kerana kematian disebabkan kecuaian.

Jika kejadian malang itu menimpa anak-anak kita, mampukah kita menerima kenyataan tersebut?

Apabila kita bercakap soal kematian, mungkin ada pihak yang berasa tidak selesa dan menuduh kita cuba menidakkan ketentuan Allah.

Ini kerana kematian adalah suatu hal yang tidak mungkin dapat kita hindari. 

Setiap yang bernyawa pasti akan mati bahkan kita sendiri pun akan pergi seperti mereka yang telah mendahului kita suatu saat nanti.

Kematian seseorang itu adalah takdir yang telah ditetapkan Allah kepada setiap hambanya jauh sebelum mereka semua hadir di kehidupan dunia. 

Ajal, rezeki bahkan jodoh seseorang itu adalah ketentuan Allah yang tidak bisa diganggu gugat.

Namun, dalam kes pelajar maut di kawasan sekolah ini, isu utama yang cuba dibangkitkan adalah soal kecuaian manusia.

Pihak yang bertanggungjawab mengambil mudah atau tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak Kementerian Pendidikan sedangkan dalam SOP sudah jelas menyatakan bahawa pelajar tidak boleh berada di kawasan penyelenggaraan termasuk kerja-kerja memotong rumput bagi mengelakkan kemalangan.

Mungkin ini kejadian pertama pelajar maut terkena bilah pisau mesin rumput tetapi bukan kes pertama pelajar meninggal dunia di kawasan sekolah.

Sebelum ini media massa turut melaporkan beberapa kes pelajar maut dihempap tiang gol di kawasan sekolah. Situasi seperti itu sedikit-sebanyak akan menyebabkan kita tidak lagi berasa tenang setiap kali anak-anak pergi ke sekolah.

Banyak perkara bermain dalam fikiran meskipun kawasan sekolah sepatutnya menjadi satu tempat paling selamat untuk anak-anak kita menimba ilmu dalam suasana aman dan menyeronokkan.