Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang, Datuk Abdul Jalil Mohamed berkata, kontraktor yang dilantik telah memotong jambatan itu pada hari berkenaan, disusuli dengan membawa masuk bahan yang diperlukan untuk membina jambatan baharu.

"Mengikut tarikh kerja sepatutnya bermula hari ini, tapi kita membuat keputusan untuk bermula lebih awal sebaik sahaja cuaca mengizinkan kerana bimbang masih ada yang menggunakan jambatan itu.

"Ini berdasarkan pemerhatian kerana kisah jambatan itu masih tular meskipun telah dimaklumkan ada laluan alternatif. Ia dilakukan atas faktor keselamatan orang awam," katanya semasa dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Kisah jambatan gantung itu tular pada 2 Januari lepas apabila rakaman video menunjukkan Lutfil Hadi Abdul Jalil, 5, dibantu bapanya, Abdul Jalil Sulaiman, 41, menyeberangi Sungai Tanum menggunakan jambatan itu untuk ke Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Yon bagi memulakan kelas prasekolah. - Bernama