Beliau berkata, projek itu akan dilaksanakan sebaik sahaja kajian tekno-ekonomi kebolehlaksanaan untuk projek jambatan itu selesai pada Disember tahun ini.

"Semasa persidangan Parlimen Rabu lepas, saya telah mengemukakan soalan berhubung perkembangan projek ini. Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Loga Bala Mohan menjawab bahawa kementerian menerusi Perbadanan Labuan telah mengambil tindakan segera untuk melaksanakan kajian pelaksanaan cadangan jambatan itu," katanya kepada Bernama.

Mengulas lanjut, perubahan pada tujuan dan skop kajian kebolehlaksanaan itu menggambarkan komitmen dan kesungguhan kerajaan untuk membina jambatan Labuan-Menumbok yang pastinya memberi manfaat ekonomi dan meningkatkan hubungan antara kedua-dua kawasan iaitu Labuan dan tanah besar Sabah.

Rozman yang juga Pengerusi Perbadanan Labuan berkata, isu pembinaan jambatan yang sekian lama akhirnya terjawab apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan Pelan Tindakan Pembangunan Labuan 2030 serta menyerahkan surat lantikan perunding bagi kajian kebolehlaksanaan  pembinaan jambatan itu pada 18 Januari lepas. - Bernama