Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Komunikasi Negeri Terengganu, Ariffin Deraman berkata, pihaknya optimis kawasan daratan sekitar akan menjadi lokasi wajib disinggahi pelancong yang ingin menyaksikan keindahan jambatan angkat pertama di Asia Tenggara itu.

"Kita juga menyasarkan akan ramai pengunjung tempatan seperti dari Kelantan dan Pahang datang ke Kuala Terengganu untuk melihat drawbridge. Malah sekarang jambatan ini belum dibuka pun sudah ramai pengunjung dari Kelantan datang ke sini semata-mata untuk melihat drawbridge walaupun dari jauh," katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama di sini.

Bagi menarik pelancong luar negara ke kawasan daratan, pihaknya telah berbincang dengan pengusaha pulau seperti Pulau Redang untuk menyediakan pelbagai pakej membawa pelancong ke kawasan daratan.

"Kalau pelancong luar (luar negara) kita memang promosi pulau sebab mereka sudah mengetahui Terengganu memang mempunyai banyak pulau yang cantik tetapi pada masa yang sama kita berbincang dengan pengusaha pulau ini untuk mempromosi produk pelancongan di darat.

"Saya yakin mereka (pengusaha pulau) akan sediakan pakej membawa pelancong luar negara pergi ke tanah besar melihat drawbridge," katanya.

Selain itu, katanya, antara yang sedang giat diusahakan kerajaan negeri adalah memantapkan perkhidmatan pelayaran menyusuri sungai di Sungai Terengganu bagi membolehkan pelancong menghayati keindahan jambatan angkat sambil menyusuri sungai itu.

"Kita sudah maklumkan kepada pengusaha-pengusaha river cruise (pelayaran menyusuri sungai) bahawa dengan adanya drawbridge ini ia akan menjadi pemangkin utama untuk perkhidmatan pengangkutan air mereka. Sekarang ini pun perkhidmatan river cruise di sini semakin mendapat sambutan.

"Sebagai buktinya TTI River Cruise menerima peningkatan jumlah penumpang pada tahun lepas berbanding dua tahun lepas. Sama juga dengan Payang Water Taxi," katanya.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan negeri sedang berusaha meningkatkan pencahayaan di kawasan pesisir pantai dan sungai Kuala Terengganu seperti Taman Tamadun Islam, Jambatan Sultan Mahmud dan kawasan sekitar Pulau Duyung. - Bernama