Beliau berkata, pada masa ini, beberapa penambahbaikan sedang dilakukan untuk memastikan keselamatan pengguna jalan raya serta kelancaran trafik berada di tahap terbaik apabila dibuka kelak.

"Antara penambahbaikan keselamatan dibuat ialah meninggikan palang penghadang tempat duduk orang ramai di kawasan rehat dan kawasan khas untuk mereka memberhentikan kenderaan bagi memudahkan merakam video dan gambar jambatan ikonik Terengganu itu," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau perkembangan terbaru proses penambahbaikan jambatan itu bersama agensi terlibat seperti Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Jabatan Kerja Raya, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Mengulas lanjut, Mamad berkata, kerajaan negeri juga mengambil serius risiko hakisan yang mungkin berlaku di sepanjang satu kilometer laluan masuk ke jambatan angkat itu berhampiran pantai di Seberang Takir hingga ke Teluk Ketapang. - Bernama