Jamal berkata, lelongan resort yang terletak di Jalan Pantai Redang, Kampung Baru Sungai Labu, Sekinchan, dekat sini akan dilakukan pada Isnin depan.

"Saya akan menjualnya dengan harga RM4.5 juta. Harga itu adalah murah dan berbaloi untuk pelaburan jangka panjang.

"Perkataan lelong mungkin menggambarkan saya sedang tenat atau teruk, tapi saya melihat ia adalah platform terbaik kerana ada ejen yang akan membantu urusan menjual resort ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Terdahulu, iklan mengenai lelongan terbabit dimuat naik semalam menerusi satu laman sosial Facebook yang memaparkan lelongan harta di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.
 
Pada Disember 2016 lalu, Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) bertindak menyita dan meruntuhkan beberapa struktur resort yang mempunyai 100 bilik itu.

MDSB dalam notis perintah tutup menyatakan resort berkenaan disita dan diarahkan tutup kerana menjalankan aktiviti tanpa lesen sah mengikut UUK 3(1) Undang-undang Kecil Hotel (MDSB) 2013.

Jamal kemudiannya memfailkan tuntutan saman terhadap Kerajaan Selangor serta dua pihak lain kerana menyita serta merobohkan struktur resort miliknya setahun kemudian.

Bagaimanapun, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 22 Jun 2017 membatalkan tuntutan terbabit dan menyatakan tindakan MDSB meroboh serta menyita resort yang dibina di atas tanah kerajaan milik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) itu adalah sah. - K! ONLINE