Keadaan itu berlaku kerana penulis mempunyai banyak pilihan untuk membeli buah-buahan lain seperti pisang, epal, anggur, limau, betik, pir dan sebagainya untuk dimakan setiap hari di rumah.

Tetapi baru-baru ini penulis tergerak hati untuk membeli buah mempelam setelah beberapa bulan tidak pernah membelinya. Bukan sekilogram penulis beli tetapi sebiji sahaja dalam anggaran 250 gram.

Penulis pun bertanya kepada Mat Bangla yang penulis panggil Sharuk Khan, berapa harga sebiji mempelam tersebut.

Dia pun menjawab, “Abang, RM3.70.”

“Mak ai”, kata hati penulis. Dahulu, lima atau enam tahun lepas, harga mempelam tersebut lazimnya RM4 atau RM5 sekilogram.

Penulis percaya ramai lagi mereka yang di luar sana me­ngalami keadaan sama. Namun hanya ada satu pilihan sahaja diberikan kepada kita semua ketika ini iaitu kalau tidak mampu, jangan beli, atau tangguhkan pembelian.

Itulah senario yang berlaku ketika ini apabila penulis mendapati ramai dalam kalangan kita mahu menikmati kehidupan tanpa mengukur kemampuan sendiri.

Golongan ini berasa kurang selesa dengan kenaikan kos sara hidup terutama jika ia melibatkan barang makanan. Namun pada masa yang sama, golongan ini juga sanggup pula berhabis duit dan berhutang untuk membeli telefon pintar dan tablet yang mahal-mahal. Itu belum dikira bil yang perlu dibayar.

Telefon pintar dan tablet kini dianggap sebagai barang ke­perluan sama seperti makanan, pakaian dan tempat berlindung.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin mendedahkan jumlah import gajet berkenaan mence­cah kira-kira RM11 bilion pada tahun lalu.

Jumlah import gajet itu jauh melebihi import makanan se­perti daging lembu sejuk beku dan segar, susu dan produk tenusu dan beras yang jumlahnya kira-kira RM8 bilion.

Hampir semua rakyat Malaysia memiliki telefon sendiri, bukan sahaja satu malah ada yang dua, tiga atau empat telefon bimbit sekali gus.

Rungutan mengenai kos sara hidup ini turut penulis dengari semasa hendak membayar bil di sebuah bank baru-baru ini.

Seorang anak muda yang penulis anggarkan usianya dalam awal 20-an, memberitahu penulis, harga semua barang, naik.

“Itu nak bayar, ini nak bayar,” katanya ketika hendak membayar pinjaman kereta yang dibelinya. Nombor keretanya tiga angka sahaja dan cantik.

Penulis bertanya kepadanya: “Kereta apa dik?” “(Honda) City bang,” katanya sambil rasa terkejut apabila urusan tersebut tidak dapat diteruskan apabila mesin deposit bank itu tiba-tiba tergendala.

Sekali lagi penulis berkata dalam hati, “Mak ai, pakai kereta mahal pun masih merungut.”

Pada awal tahun ini, bekas vokalis kumpulan Spring, Ameng berkongsi pengalaman hidupnya semasa menjalani hukuman penjara dengan jemaah masjid tempat penulis menetap.

Menurutnya, ketika zaman dia meletup pada tahun 1990-an, dia pernah mendapat wang hasil nyanyian mencecah RM40,000 sebulan.

Sekali lagi penulis berkata, “mak ai, banyaknya duit dia.” Ameng mengaku dia seolah-olah lupa diri dan akhirnya terjebak dengan gejala penagihan dadah. Dia akhirnya dipenjarakan.

Dia menceritakan betapa seksanya hidup dalam penjara yang disifatkan neraka dunia. Dia menceritakan betapa pedih, perit dan sakitnya dirotan 10 kali selang 10 saat di tempat yang sama di punggungnya.

Hidupnya sangat sengsara dan menderita. Penyanyi Datuk Jamal Abdillah banyak membantunya semasa di penjara selain isteri.

Tetapi dia kini amat insaf selepas bebas daripada penjara.

Hatinya senang kerana dapat memberikan ceramah sambil berdakwah walaupun pendapatannya ketika ini sangat kecil berbanding pada zaman gemilangnya sebelum ini.

Dia menjalani kehidupan hari ini seadanya.