Difahamkan dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi itu, bahan tersebut adalah satu daripada empat tong bahan kimia yang terjatuh dari lori terbabit dalam perjalanan dari Pasir Gudang, Johor ke sebuah kilang membuat sarung tangan di sini.

Pakar Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penguasa Bomba Zulkhairani Ramli berkata, panggilan kecemasan diterima daripada orang ramai pada pukul 11.34 pagi dan sepasukan 15 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah serta Unit Hazmat Alor Gajah dikejarkan ke lokasi.

Katanya, jalan itu ditutup selepas mendapati berlaku tumpahan serbuk putih dari salah sebuah tong kimia terbabit yang dikenal pasti adalah Sodium Sulfite.

"Operasi pembersihan mengambil masa lebih dua jam iaitu tamat pada 2.05 petang selepas bahan kimia yang tertumpah di jalan raya dikumpulkan dan dilarutkan sehingga menjadi neutral iaitu pH7.

"Bahan kimia Sodium Sulfite yang tumpah ini berbahaya jika terkena pada kulit kerana sifatnya yang menghakis dan sekiranya terkena air, ia akan mengewap dan boleh masuk ke tubuh badan melalui pernafasan," katanya.

Jelasnya, tiga lagi tong masing-masing berisi bahan kimia Poly Arcyclic Acid Sodium Salt, Sodium Bikarbonat dan Bicine Sodium Salt turut ditemui namun tidak tumpah serta masih tersimpan di dalam bekas berkenaan. - K! ONLINE