Ketua Pengarahnya, Profesor Dr. Juli Edo berkata, pelan itu sudah dibuat sebelum ini lagi memandangkan banyak kampung kaum Orang Asli dikenalpasti bermasalah.
    
Katanya, pihaknya hanya menunggu masa untuk melaksanakan termasuklah kemudahan air bersih yang menjadi keperluan masyarakat Orang Asli.
    
“Kita memikirkan kemudahan bersifat jangka panjang bagi Orang Asli seperti projek empangan air yang menjamin masa depan. 
     
“Kita akan teliti semuanya termasuklah juga penyelenggaraan kemudahan air bersih terawat sedia ada," katanya kepada pemberita di perkarangan Hospital Gua Musang, di sini semalam.
     
Sebelum itu, beliau menerima sumbangan makanan dan bantuan kewangan untuk pesakit Orang Asli daripada Ketua Misi Bantuan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Terengganu, Profesor Dr. Ramlee Abdullah. 
     
Sementara itu, Juli berkata, berkenaan banyak masalah yang menimpa Orang Asli suku kaum Batek di Kampung Kuala Koh pihaknya sudah mengambil maklum keadaannya yang sangat miskin dan akan diambil perhatian. 
     
“Kita kena tumpu kemudahan asas terlebih dahulu kerana amat kurang, selain sumber ekonomi mereka juga yang agak terbatas.
     
“Perkara itu yang kita akan ambil tindakan semula selepas penyakit jangkitan paru-paru terkawal nanti," katanya. 
     
Tambahnya, buat ketika ini juga pihaknya juga mendapat bantuan daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) untuk kebajikan di kampung Kuala Koh.

Katanya, Nadma akan menguruskan dahulu secara berkesan segala permasalahan yang timbul di kampung terbabit dan selepas ini barulah pihak Jakoa melaksanakan pelan pembangunan.
     
“Kita juga mendapat bantuan daripada pihak kerajaan negeri Kelantan apabila telah menghantar bekalan air bersih kepada Orang Asli Kuala Koh,” katanya. - K! ONLINE