Ketua Pengarah Jakim, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim berkata, pihaknya turut menyeru agar semua masjid di seluruh negara turut melaksanakan solat sunat itu bagi tujuan tersebut.

“Lanjutan masalah jerebu yang melanda negara pada masa ini, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) telah menghubungi Jakim dan memaklumkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di beberapa kawasan mencecah pada tahap sangat tidak sihat.

“Keadaan ini ditambah dengan hujan yang kurang menyebabkan kemarau dan masalah jerebu berpanjangan. Nadma mengesyorkan Jakim untuk mengadakan solat Sunat Istisqa bagi memohon hujan dan mengurangkan masalah jerebu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelasnya, orang ramai dijemput hadir bagi sama-sama menjayakan solat sunat Istisqa selepas solat Isyak malam ini di kedua-dua masjid itu.

Tambah Mohamad Nordin, beliau berdoa semoga Allah SWT melimpahkan rahmat hujan di bumi Malaysia yang tercinta dan melindunginya dari bencana yang tidak diingini.

Sebelum itu, Jabatan Alas Sekitar (JAS) dalam satu kenyataannya semalam memaklumkan tiada lokasi atau stesen di seluruh negara yang menunjukkan status kualiti udara pada tahap baik menerusi bacaan IPU oleh pihaknya.

Pada bacaan tersebut, 58 stesen menunjukkan status kualiti udara sederhana, lapan stesen mencatatkan bacaan IPU tidak sihat dan dua stesen ditahap IPU sangat tidak sihat.

Menurut JAS, dua stesen yang mencatatkan IPU sangat tidak sihat ialah di di Sri Aman, Sarawak (IPU 238) dan Kuching, Sarawak (IPU 223) - K! ONLINE