Kesemua yang ditahan berusia 20 hingga 40 an melibatkan lapan warga Thailand dan tiga warga tempatan.

Ketua Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (JAIS), Mahdi Al- Hilmy Arshad berkata, berdasarkan siasatan awal mendapati enam daripada warga Thailand tersebut dipercayai sindiket mengutip derma terutama di bazar Ramadan.

Katanya, turut dirampas bersama mereka adalah wang tunai berjumlah RM1600.

"Mereka ini dipercayai dihantar sindiket tertentu dipercayai bukan mengutip derma untuk pembinaan surau dan masjid serta madrasah seperti gambar yang tertera pada tabung mereka sebaliknya untuk kepentingan peribadi.

"Saya menasihatkan orang ramai tidak mudah terpedaya atau bersimpati dengan pengutip derma sebegini, sebaliknya maklumkan kepada pihak berkuasa jika melihat golongan ini berkeliaran mengutip derma," katanya ketika ditemui pemberita di bangunan JAIS di sini hari ini.

Jelas beliau, sebelas individu yang ditahan kini disiasat mengikut Seksyen 106 Enakmen Pentadbiran Islam Negeri Selangor 2003.

Terdahulu beliau bersama 56 anggota penguatkuasa JAIS melakukan pemeriksaan di lapan buah lokasi bazar Ramadan di negeri ini termasuk di Puchong Prima dengan menangkap dua individu warga tempatan. -K! ONLINE