Pengarahnya, Datuk Haris Kasim berkata, antara aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan yang dijalankan adalah seperti pemantauan terhadap premis yang menjual makanan kepada umat Islam secara terbuka atau di tempat awam pada waktu siang.

"Ini termasuk penjualan makanan kepada mereka yang tidak berpuasa. Adalah menjadi satu kesalahan apabila individu beragama Islam didapati menjual kepada mana-mana orang Islam atau membeli apa-apa makanan atau minuman atau rokok atau benda lain seumpamanya untuk dimakan, diminum atau dihisap sepanjang bulan Ramadan.

"Individu ini boleh disabitkan di bawah Seksyen 19, Tidak Menghormati Ramadan, Enakmen 9 Tahun 1995 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Selain itu, beliau berkata, Bahagian Pengurusan Halal juga komited untuk memastikan tiada individu atau premis syarikat yang mengambil kesempatan dalam mempromosikan hidangan berbuka puasa 'Buffet Ramadan' tetapi tidak memiliki Pensijilan Halal yang diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). - Bernama