Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menerusi khutbah Jumaat memaklumkan galakan membayar zakat fitrah mengikut harga beras yang dimakan ini adalah berdasarkan kepada hadis Rasulullah SAW.

"Sebagai contoh, sekiranya tuan-tuan menjadikan kebiasaan jenis beras putih import atau beras perang sebagai manakan harian diri dan keluarga, maka digalakkan menunaikan zakat fitrah mengikut nilai harga beras iaitu RM14 seorang. 

"Begitu juga sekiranya tuan-tuan memakan Beras Basmathi atau Beras Jepun untuk diri dan keluarga, maka digalakkan menunaikan zakat fitrah mengikut nilai harga beras iaitu RM21 seorang," katanya dalam khutbah bertajuk Zakat Fitrah Pelengkap Ramadan hari ini. 

JAIS turut menjelaskan bahawa keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor adalah bayaran zakat pada tahun ini adalah sebanyak RM7 seorang. 

Ujarnya, seramai 2,800 orang penolong Amil Zakat Fitrah telah ditauliahkan oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) di seluruh Selangor pada tahun ini. 

"Pada tahun lalu, lebih RM25juta telah berjaya dikutip dengan peningkatan sebanyak 7.35 peratus berbanding 2017. 

"Ini pastinya didorong oleh kesedaran umat Islam terhadap kewajipan menunaikan zakat," katanya. 

Mengulas lanjut, JAIS berkata, berdasarkan rekod LZS menunjukkan seramai 3.5 juta umat Islam di Selangor telah menunaikan zakat fitrah pada tahun lalu iaitu peningkatan sebanyak 3.78 peratus berbanding tahun 2017.

"LZS juga telah meningkatkan kemudahan pembayaran zakat fitrah melalui aplikasi mobile yang lebih mudah dan bayaran direkodkan terus secara dalam talian LZS.

"Pada tahun ini, sejumlah RM26juta telah diagihkan kepada lebih 54 ribu keluarga asnaf fakir miskin di seluruh Selangor demi memastikan mereka dapat menyambut ramadan dan hari raya dengan sempurna," jelasnya. - K! ONLINE