Itu kata bekas penghuni Penjara Penor di sini, dikenali sebagai Mat Ngek, 40, yang menerima ucapan tahniah daripada Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. 

Tunku Azizah berkenan menzahirkan ucapan itu semasa bertemu Mat Ngek yang baru melangsungkan perkahwinan semalam, dan isteri, Leha, 54, semasa mencemar duli melawat Pusat Tenun Pahang Diraja, Kampung Budaya Pulau Keladi di sini hari ini, tempat Mat Ngek bekerja. 

"Tuanku juga berkenan berjumpa dengan isteri yang datang menemani saya hari ini. Baginda juga berkenan menyampaikan kurniaan kepada kami dan memberikan nasihat kepada kami untuk sabar melayari ujian berumahtangga. 

"Baginda berpesan supaya isteri jangan mudah cemburu kerana di sini pekerjanya ramai wanita. Jasa tuanku dengan saya begitu banyak... sejak dari dalam penjara lagi kerana kemahiran menenun dipelajari di Penjara Penor," katanya kepada pemberita di sini, hari ini. 

 Mat Ngek dan Leha melangsungkan perkahwinan di Pejabat Agama Islam Daerah Kuantan dekat sini, setelah sebulan berkenalan di laman sosial Facebook sekitar hujung Mei lepas. 

Anak jati Kuala Berang, Terengganu itu berkata dia mula bekerja di pusat tenun itu pada Februari lepas, selepas tamat menjalani hukuman penjara sejak 2012 kerana menyamun.  

"Raja Permaisuri Agong menawarkan kerja kepada saya dan memang kebiasaan baginda berbuat demikian kepada bantuan yang baru dibebaskan. Mungkin kerana kami sudah mempunyai kemahiran selain baginda tahu mutu hasil kerja kami. 

"Saya sendiri pernah menenun persalinan untuk perkahwinan anakanda saudara Tunku Azizah, Tunku Puteri Johor, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim, persalinan bersiram bagi istiadat pertabalan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah selain beberapa majlis negara. 

"Bagaimanapun, orang sukar untuk percaya kerana status saya. Hendak mendapat kerja pun sukar, jadi lebih baik bekerja dengan Tunku Azizah. Secara tak langsung menjauhkan saya daripada perkara yang boleh menarik saya ke jalan lama," katanya. - Bernama