Ini kerana, melalui perkembangan pesat  teknologi maklumat dunia tanpa sempadan, pelbagai maklumat atau mesej-mesej  politik dapat disampaikan kepada golongan sasaran dengan mudah tanpa perlu seseorang itu berada di tempat-tempat tertentu sebaliknya cukup sekadar memegang sebuah te­lefon pintar.

Jadi tidak hairanlah kehangatan bahang PRU-14 sudah lama dirasai lebih-lebih lagi pelbagai siri ceramah politik yang diadakan oleh parti-parti tertentu di setiap ceruk negeri boleh diikuti dengan mudah melalui pelbagai saluran media sosial.

Grup-grup WhatsApp misal­nya yang membabitkan kumpulan-kumpulan keluarga, sahabat lama, re-union, surau, kejiranan dan sebagainya turut menjadi sasaran apabila dibanjiri dengan pelbagai siri mesej atau sedutan video kempen serta ceramah politik yang disebarkan oleh pihak-pihak tertentu.

Tidak kisahlah apa pun pega­ngan politik kita atau parti mana sekalipun yang kita nak sokong, cuma semua pihak perlulah bijak dalam menghadam setiap mesej yang disampaikan dan tidak menerimanya secara bulat-bulat tanpa menyelidiknya terlebih dulu.

Kita faham, kadang-kadang hanya kerana tebalnya sentimen terhadap sesuatu parti politik yang disokong,  terdapat dalam kalangan kita yang terlupa tentang adab-adab sehingga tersebar perkara-perkara yang tidak sepatutnya seperti  maklumat-maklumat palsu atau perkara-perkara  yang menyinggung orang lain terutamanya melalui grup-grup WhatsApp atau media sosial yang lain.

Perkara-perkara seperti  inilah sebenarnya yang harus dielakkan oleh kita supaya keharmonian­ dalam hidup bermasyarakat yang terjalin sejak sekian lama dapat dikekalkan. 

Sikap saling caci-mencaci atau buruk-memburukkan pihak lain sehingga timbulnya pertelagahan seharusnya dielakkan kerana ia sama sekali tidak akan mendatangkan manfaat, malah bertentangan dengan ajaran agama.

Apa yang penting, kita janganlah menjadi alat atau tukang sebar berita-berita yang tidak benar secara membuta tuli hanya ke­rana kita tidak suka kepada pihak yang satu lagi kerana kesannya amatlah buruk. 

Penerapan nilai-nilai terpuji sepatutnya dibawa oleh setiap barisan pemimpin serta penyokong sesebuah parti ke­rana sifat mulia dan baik yang ditonjol­kan itu kelak akan dinilai oleh masyarakat.

Secara asasnya, jika elok apa yang diucapkan oleh pemimpinnya, maka eloklah jugalah apa yang akan diucapkan oleh para pengikutnya.

Sebaliknya jika tohmahan-tohmahan buruk atau berbaur fitnah yang dilemparkan oleh ketuanya, sudah tentu tohmahan itu juga akan menjadi modal­ pihak-pihak tertentu untuk menghentam pihak lain. Tentunya, ia akan berlaku secara tidak berhemah.

Kadang-kadang, ada juga dalam kalangan para penyokong sesebuah parti  yang bertindak berlebih-lebihan seperti mengkritik pihak lawan secara tidak berhemah dengan menggunakan perkataan-perkataan yang kasar atau kesat  terutamanya di laman-laman sosial sehingga memberikan imej yang buruk kepada parti yang mereka sokong.

Apa yang paling penting ketika ini ialah, setiap daripada kita harus menggunakan tempoh masa yang ada sebelum tarikh mengundi diumumkan nanti ialah menilai kembali setiap parti-parti yang bertanding.

Renung dan nilai kembali pencapaian parti-parti yang bertanding selain menilai ke­sungguhan mereka dalam me­laksanakan tanggungjawab mereka kepada rakyat.

Apa-apa pun keputusan yang kita diambil dalam memilih barisan kepimpinan untuk membentuk kerajaan yang diingini pada PRU-14 kelak, paling pen­ting ia seharusnya dan semesti­nya dibuat dengan mengambil kira kepentingan masyarakat secara keseluruhan, kestabilan negara tidak tergugat serta kepentingan agama kita sentiasa terjaga.

Jangan pula sampai segala apa yang kita bina dan kecapi selama ini musnah begitu saja hanya kerana keputusan salah yang kita buat. Buatlah keputusan secara bijaksana dengan menggunakan akal yang waras dan bukannya berdasarkan sentimen kebencian atau hati yang panas. Selamat menghadapi PRU-14.