Kisah paling hangat tahun ini adalah berkaitan kucing yang ‘didera’ oleh tetamu kecil.

Baru-baru ini seorang gadis meluahkan rasa sedihnya dalam laman sosial apabila kucing kesayangannya mati selepas me­ngalami gangguan saraf akibat terjatuh atau dihentak pada kepala.

Sebelum mati kucingnya tiba-tiba sahaja lumpuh selepas ramai tetamu datang beraya di rumahnya.

Rentetan daripada itu ramai netizen turut berkongsi pe­ngalaman yang sama mengenai kucing masing-masing ketika musim perayaan.

Ada antara mereka menceritakan kucing mati gara-gara dilemaskan oleh kanak-kanak di dalam baldi berisi air. Ada yang bukan sahaja dipukul, dipijak, malah dibaling juga oleh tetamu kecil yang datang berkunjung sempena Aidilfitri.

Jika menyentuh tentang adab, bukan setakat kucing atau haiwan peliharaan tuan rumah perlu dihormati privasinya tetapi seluruh isi rumah.

Mengambil contoh satu kejadian di Jepun, seorang lelaki terpaksa membayar AS$35,000 (RM145,747) kepada sepupunya selepas anaknya masuk ke dalam sebuah bilik yang dipenuhi dengan koleksi mainan Gundam miliknya.

Bukan setakat menceroboh dalam bilik yang telah dikunci, malah kanak-kanak itu telah merosakkan 38 buah robot Gundam, 41 buah robot Gundam edisi khas, sembilan set cakera video digital (DVD), 33 buah cakera padat, 45 buah buku komik dan sebuah komputer.

Kebanyakan koleksi Gundam tersebut sudah tidak dijual dan berharga tinggi. Selepas menunjukkan harga sebenar koleksi Gundam tersebut berdasarkan harga di pusat beli-belah digital Amazon, lelaki itu bersetuju membayar kerosakan yang dilakukan oleh anaknya.

Ironinya, lelaki itu dan keluarganya datang menumpang di rumah sepupu mereka untuk menghadiri majlis pengebumian nenek mereka yang berlangsung di rumah sebelah.

Kejadian tersebut berlaku meskipun tuan rumah telah mengambil langkah-langkah sepatutnya seperti mengunci bilik koleksi Gundam. Namun, disebabkan kanak-kanak itu gagal menghormati privasi tuan rumah, kejadian tersebut berlaku.

Persoalannya, siapa yang harus dipersalahkan? Tuan rumah, tetamu (ibu bapa) atau kanak-kanak?

Penulis yang mempunyai dua orang anak, seorang perem­puan berusia enam tahun dan lelaki berusia setahun lebih percaya, jika anak dididik dengan betul dan belajar menghormati privasi tuan rumah semua kejadian di atas tidak akan berlaku.

Ya, fitrah kanak-kanak adalah bermain. Walau di tengah jalan raya pun mereka boleh anggap seperti berada di taman permainan, inikan pula di rumah yang begitu banyak ‘permainan’ baharu yang mereka tidak pernah lihat sekali gus membangkitkan keterujaan.

Jika tuan rumah sudah mengambil langkah yang sepatutnya, tanggungjawab untuk menjaga tingkah laku atau adab anak-anak terletak di bahu ibu bapa.

Kita acapkali mendengar dialog: “Budak-budak biasalah, mereka kecil lagi memanglah lasak.”

Memanglah mereka kecil dan lasak, tetapi sewaktu kecil inilah ibu bapa harus memberi didikan yang betul tentang adab di rumah orang.

Jika kucing kita sendiri yang mati atau televisyen rosak ke­rana ditolak tetamu kecil yang datang ke rumah, pasti akan berasa sakit hati biarpun bibir tetap mengukir senyuman kelat pada tetamu.

Oleh itu, jagalah adab bukan buat mereka yang dewasa sahaja, tetapi juga anak-anak kecil yang kadangkala diheret menghadiri rumah terbuka meskipun melepasi waktu tidur mereka. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah daripada rebungnya.