Ada juga yang datang lewat cuba menyelit duduk antara orang yang sudah duduk lama walaupun tempat tu sempit. Sebenarnya perbuatan seperti ini amat ditegah dan makruh yang keras larangannya kerana beberapa sebab antaranya ia mengganggu konsentrasi makmum yang sedang mendengar khutbah, selain tidak beradab.

Seboleh-bolehnya jika tiba lambat ke masjid, carilah ruang kosong yang masih ada di saf belakang bagi menjaga keharmonian sesama makmum dan bukannya cuba menyelit atau melangkah orang lain.

Bagaimanapun, jika kita lihat ada masih ada ruang kosong di saf depan, seelok-eloknya kita perlu mencari laluan lain sesuai dan tidak sampai perlu melangkah atas tubuh jemaah.

Sekiranya tiada satu pun laluan untuk membolehkan kita ke depan dengan erti kata lain tiada ada sebarang ruang untuk lalu, maka tidak perlu ke depan kerana kalau kita minta izin nak lalu pun, ia sedikit sebanyak mengganggu mereka yang mendengar khutbah.

Dalam hal ini, kita perlu meletakkan diri kita di tempat orang lain. Jika kita sedang duduk mendengar khutbah, apa perasaan jika ada orang lain yang datang lewat me­langkah atau meminta laluan untuk ke depan. Sedikit seba­nyak, kita akan rasa terganggu dengan perbuatan mereka yang seolah-olah tidak menghormati perasaan orang lain.

Bab berjemaah di masjid pada hari Jumaat, terdapat juga perangai orang kita walau pun sampai awal, suka duduk di belakang menyebabkan saf yang ada di depan tidak penuh, jadi lopong tengah.

Dalam hal ini, sebaik-baik­nya tunggulah sehingga semua makmun berdiri untuk bersolat dan bergerak memenuhi saf-saf yang ada di depan.

Bagi mengelakkan perkara seumpama ini, jika kita dapat datang awal untuk menunaikan solat Jumaat adalah lebih baik kerana ia amat dianjurkan oleh Islam. Ia menjadi kebiasaan para salafus soleh ke masjid seawal yang boleh.

Keutamaan datang awal ke masjid pada hari Jumaat di dikuatkan oleh satu hadis yang diriwayatkan daripada Aus bin Aus Radiallahu anhu, “Aku mendengar Rasulullah bersabda:

“Sesiapa mandi pada hari Jumaat, berangkat lebih awal (ke masjid), berjalan kaki dan tidak berkendera­an, berdekatan imam dan mendengar khutbahnya serta tidak berbuat lagha (sia-sia), maka setiap langkah yang ditempuhnya akan mendapatkan pahala puasa dan qiyamulail setahun.” - Hadis Riwayat Abu Daud, al-Nasai dan Ahmad.

Hadis ini membuktikan bahawa datang awal ke masjid menjadi syarat untuk mendapatkan keutamaan pahala solat Jumaat dengan sempurna. Datang ke masjid disunahkan dengan berjalan kaki, sebab itu Imam al-Nasai dan al-Baihaqi membuat bab khusus dalam kitab mereka, Keutamaan berjalan kaki untuk solat Jumaat.

Dalam perkembangan lain, sikap ibu bapa yang menghantar anak mereka lewat ke sekolah setiap hari untuk sesi petang kira-kira pukul 1.20 te­ngah hari menyebabkan luar kawasan sebuah sekolah di satu daerah Selangor agak sesak memandangkan pada waktu itu murid-murid sesi pagi keluar untuk pulang ke rumah.

Seorang rakan penulis memberitahu, sepatutnya murid-murid bagi sesi petang perlu hadir sebelum pukul 1.20 tengah hari kerana pada waktu itu, murid-murid itu telah pun beratur untuk memasuki kelas masing-masing.

Lebih memburukkan kea­daan, ada ibu bapa yang meletakkan kenderaan mereka di hadapan pintu pagar hingga menghalang laluan.

Sepatutnya ibu bapa perlu menghantar anak mereka le­bih awal bagi mengelakkan kese­sakan dan tidak menyusahkan urusan mana-mana pihak.