Kehadiran mereka memberikan refleksi terhadap keadaan masyarakatnya serta berpe­ranan mengemukakan penyelesaian berkaitan sesuatu permasalahan.

Kebiasaannya apabila golo­ngan ilmuwan memasuki ge­langgang politik, ia boleh dianggap satu kelebihan dalam menentukan haluan sesebuah perjuangan politik sesuai de­ngan ideologi atau idealisme yang dipegang.

Di negara ini, golongan intelektual, apatah lagi mereka yang mencapai populariti melalui media begitu mudah menjadi daya penarik sokongan khalayak ramai.

Lantas ada yang mengambil kesempatan menjadi ahli politik paracut dan diberi laluan untuk menapak ke tampuk kekuasaan secara ekspres.

Mereka sebenarnya tidak lebih umpama oportunis politik yang melihat ruang dan peluang bila tiba masanya.

Namun kehebatan intelektual tanpa memahami ruang lingkup politik dan situasi sebenar masyarakat hanya melahirkan dasar-dasar baharu yang sukar dilaksanakan.

Sebagai contoh, polemik hutang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), ia menjadi isu besar dalam kalangan mahasiswa.

Mereka sanggup turun ke jalan raya kerana menganggap hutang yang bakal diwarisi itu begitu membebankan.

Lantas janji pilihan raya untuk membenarkan penangguhan pembayaran balik pinjaman sehingga siswazah mencapai gaji RM4,000 sebulan mendorong golongan muda menyokong Pakatan Harapan.

Namun selepas enam bulan pasca PRU-14, ternyata janji manifesto itu gagal dilaksana malah tidak mungkin dapat dilakukan.

Hari ini intelektual yang merumuskan dokumen manifesto itu meminta maaf atas alasan tidak mengetahui jumlah tunggakan pembiayaan balik PTPTN yang besar.

Sedangkan laporan akhbar beberapa bulan sebelum PRU-14 secara jelas menyebut seramai 663,000 peminjam tidak pernah membayar hutang PTPTN.

Sejak badan itu ditubuhkan pada 1997, dana RM48 bilion telah disalurkan kepada pelajar dan sepatutnya sebanyak RM18.8 bilion dapat dikutip balik setakat tahun 2017 untuk membolehkan pelajar lain menikmati kemudahan pinjaman pelajaran itu.

Namun PTPTN setakat ini menanggung tunggakan bayaran balik RM39 bilion.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyatakan, hutang itu hampir sama dengan kerugian syarikat 1Malaysia Development Bhd.

Mustahil intelektual yang merumuskan manifesto ber­kenaan tidak meneliti data yang tersiar secara terbuka kepada awam. Sebab itulah, kadang-kadang ada golongan intelektual terselit pada mereka sisi ‘kebodohan’ sebab gagal memahami realiti kehidupan sebenar.

Sedangkan intelektual sejati adalah mereka yang mencampak­kan diri di tengah-tengah perjuangan bersama masyarakat, mempraktikkan segala kajian berasaskan wahyu, nalar (akal) dan istidlal (demonstrasi rasional).

Seorang intelektual juga harus mempunyai ciri-ciri rausyanfikir (ahli fikir). Seperti dinyatakan pemikir kelahiran Iran, Dr. Ali Shariati, rausyanfikir adalah mereka yang arif tentang situasi sosial manusia sebenar pada masa kini dan masa lampau.

Ali Shariati menyatakan tidak semua intelektual mempunyai pemikiran celik.

Dr. Jalaluddin Rakhmat dalam kata pengantar buku Warisan Shariati berkata: “Rausyanfikir berbeza dengan ilmuwan. Seorang ilmuwan mencari kenya­taan (sedangkan) rausyanfikir mencari kebenaran. Ilmuwan hanya menampilkan fakta, rausyanfikir memberi penilaian sebagaimana seharusnya. Ilmuwan berbicara dengan bahasa universal, rausyanfikir - seperti para nabi - berbicara dengan bahasa kaumnya.

Tambah beliau, rausyanfikir adalah orang yang me­rasa bertanggungjawab untuk memperbaiki masyarakatnya, memahami aspirasi mereka, merumuskannya dalam bahasa yang dapat difahami setiap orang, menawarkan strategi dan alternatif penyelesaian masalah.

Apa yang paling penting diingatkan kepada para intelektual ialah mereka sewajarnya mengotakan kata-kata seperti dirakam dalam Surah al-Saf (2-3): “Wahai orang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak lakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak lakukannya.”