Selepas selesai merokok di satu sudut agak jauh daripada orang ramai yang hanya mengambil masa selama beberapa minit, lelaki tersebut kembali menyertai kumpulannya berhampiran dengan meja penulis.

Ketika itu, penulis bersama suami dan seorang anak kecil yang sudah tentu tidak akan berasa selesa sekiranya lelaki tersebut merokok di situ.

Begitu juga tindakan tiga lelaki berusia awal 20-an yang sanggup bertenggek di tepi longkang ketika cuaca panas terik berhampiran sebuah kedai makan di Ampang Jumaat lalu turut menggamit pandangan.

Biarpun kelihatan tidak selesa, namun semua perokok berkenaan nampaknya akur dengan penguatkuasaan larangan merokok di semua premis makanan yang mula dikuatkuasakan bermula awal tahun ini.

Larangan itu adalah mengikut pindaan pewartaan tempat makan di bawah Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT 2004), bertujuan melindungi orang awam terutama golongan bukan perokok daripada terdedah kepada bahaya asap rokok.

Peraturan itu memperuntukkan denda RM10,000 atau penjara dua tahun manakala di bawah Peraturan 12, semua pemilik, pengusaha atau tuan punya premis atau kende­raan yang gagal mempamerkan tanda larangan merokok yang jelas boleh dikenakan tindakan denda tidak mele­bihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan.

Bagi kesalahan gagal memastikan tiada orang mero­kok dan menyediakan kemudahan untuk merokok boleh dikenakan denda RM5,000 atau penjara setahun.

Bagaimanapun, dalam tempoh enam bulan bermula awal tahun ini, kerajaan menggunakan pendekatan mendidik dengan mengeluarkan notis amaran sebelum ia dikuatkuasakan sepenuh­nya Julai ini apabila setiap pesalah bakal dikenakan tindakan undang-undang.

Penulis bukanlah seorang yang antiperokok tetapi akan berasa tidak selesa sekiranya ada dalam golongan tersebut sengaja untuk tidak menghormati hak masyarakat lain terutamanya golongan warga emas, kanak-kanak atau wa­nita mengandung.

Bukan sahaja asap rokok yang dilepaskan ke udara itu menyebabkan keadaan tidak selesa tetapi risiko kesihatan akibat perbuatan tersebut amat tinggi.

Ini kerana, perokok pasif iaitu orang yang tidak mero­kok tetapi menghidu asap rokok turut mendapat nikotin dan bahan kimia bertoksik dengan cara sama seperti perokok.

Malah, kajian menunjukkan bayi dan kanak-kanak yang terdedah kepada asap rokok berisiko mendapat penyakit jangkitan telinga, lelah, jangkitan paru-paru dan bagi wanita pula boleh melemahkan kandungan.

Penguatkuasaan undang-undang larangan merokok yang dikhabarkan bakal diperluaskan ke beberapa lokasi awam yang lain ini dilihat mendapat sambutan baik daripada rakyat negara ini tetapi pada masa sama masih terdapat kelompongan yang perlu diatasi pihak berwajib dalam memastikan penguatkuasaan undang-undang ini tidak diperlekehkan.

Ini kerana, biarpun sudah hampir sebulan larangan itu dikuatkuasakan, masih terdapat segelintir pengusaha premis makanan yang tidak memaparkan tanda amaran merokok di kedai mereka selain gagal menegur pe­langgan yang merokok dalam jarak kurang 3 meter se­perti yang termaktub di dalam undang-undang.

Penulis sedar, rakyat negara ini sukar untuk mematuhi undang-undang yang tidak dikuatkuasakan secara serius. Jadi, pihak berkuasa perlu bekerja keras supaya timbul rasa takut dalam kalangan perokok dan penguatkuasaan undang-undang ini tidak setakat pengenalan sahaja.

Semoga larangan ini menjadi titik tolak dalam mengubah budaya merokok dalam kalangan masyarakat di negara ini supaya satu hari nanti Malaysia bebas sepenuhnya daripada asap rokok.