Menteri Pendidikan, Maszlee Malik berkata, adalah penting untuk memperkasakan bidang TVET bagi  melahirkan graduan berkemahiran tinggi dan mendapat permintaan dalam industri.

"Saya berjanji dalam tempoh lima tahun akan datang kebolehpasaran graduan TVET akan terus meningkat seterusnya menjadi pilihan utama pelajar melanjutkan pengajian, kita tidak boleh lagi menjadi selektif dan bergantung kepada sektor tertentu untuk memacu pertumbuhan ekonomi.

"Matlamat kami adalah untuk membuatkan graduan pengkhususan TVET berbangga dengan sijil dan kemahiran yang mereka ada, sentiasa mendapat permintaan industri serta tidak lagi dilihat sebagai kelas kedua (pengkhususan dalam pembelajaran)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Forum Pakar TVET Asia (ATEF) 2018 dengan tema "Pelaksanaan Menyeluruh TVET Untuk Revolusi Industri 4.0" anjuran UTHM di sini malam tadi.

Turut hadir Naib Canselor UTHM, Prof Dr. Wahid Razzaly.

Menurut Maszlee, kerjasama antara pihak persendirian dan institusi pengajian tinggi seperti Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) sebagai salah satu universiti teknikal di Malaysia juga akan membantu menaikkan kualiti graduan TVET.

"Malah, UTHM telah membuktikan TVET tidak hanya terpakai untuk tahap pendidikan yang lebih rendah sebaliknya diterapkan dalam program PhD melalui sistem latihan Dual Nasional dengan kerjasama Universiti Bremen Jerman," katanya.

Pada majlis tersebut, Maszlee turut menyaksikan sesi menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan 12 negara yang menyertai forum tersebut  yang berperanan menggalakkan  kerjasama antarabangsa dalam menangani isu-isu TVET di rantau Asia Timur dan dunia termasuk Jerman, Thailand, Korea Selatan, Brunei, Vietnam dan Kemboja. - K! ONLINE