Pastinya, ibadat puasa yang difardukan ke atas setiap insan yang beragama Islam setiap kali Ramadan bukanlah sekadar menahan lapar dan dahaga semata-mata kerana ia sebenarnya me­nuntut kita semua melakukan lebih daripada itu sesuai de­ngan syariat ibadat puasa itu sendiri yang bertujuan untuk melahirkan insan-insan yang bertakwa.

Untuk menjadi insan bertakwa, ia menuntut kita untuk melakukan yang terbaik sepanjang bulan mulia ini.

Ia bukan setakat menahan diri daripada lapar dan dahaga, malah lebih daripada itu meliputi seluruh amalan yang lain sama ada yang wajib atau sunat sehinggalah kepada tingkah laku seha­rian kita bagi melengkap­kan kesempurnaan ibadat puasa yang difardukan ke atas kita.

Kerana itu, kita seharus­nya mengambil peluang pada Ramadan kali ini dengan berazam bersungguh-sungguh untuk menjadikan ia sebagai yang terbaik untuk diri kita dengan melakukan segala amalan fardu atau sunat serta apa jua kebaikan seikhlas mungkin kerana Allah.

Paling penting, kita sudah tentu tidak mahu Ramadan yang datang ini akan berlalu begitu saja tanpa kita mengambil sebarang usaha untuk menjadikan diri kita lebih baik daripada sebelumnya.

Memang benar, perkara pokok setiap kali tiba Ramadan ialah berpuasa. Bagaima­napun pada masa sama, kita juga digalakkan untuk me­lakukan amalan-amalan yang lain seperti memenuhi masjid untuk solat berjemaah, khatam al-Quran, bersedekah dan pelbagai lagi sebagai pelengkap kepada ibadat puasa.

Malah, kita juga haruslah berusaha untuk membersihkan diri secara dalaman dan luaran dengan memaafkan semua kesalahan orang terhadap kita dan memohon keampunan daripada semua orang yang kita sakiti sebelum ini.

Berhentilah daripada melakukan perbuatan yang sia-sia seperti mengumpat, mengadu domba, melakukan maksiat atau perkara-perkara buruk yang boleh menjejaskan kualiti ibadat puasa kita.

Jika sebelum ini kita selalu berlebih-lebih ketika berbuka puasa.

Setiap kali tiba bulan puasa, ramai dalam kalangan kita gagal mengawal nafsu dalam penyediaan juadah berbuka.

Maklum sajalah, persiapan untuk berbuka dibuat dalam keadaan perut lapar, jadi pertimbangannya mungkin agak kurang tepat sehingga membuat pembelian makanan secara berlebihan sehingga membazir.

Dalam keadaan lapar sudah tentu semua makanan kelihatan enak dan semua mahu dibeli, sedangkan hakikatnya perut kita tidak mampu untuk menampung jumlah makanan dalam kuantiti yang banyak.

Kerana itu, banyak makanan terbuang begitu sahaja, sedangkan pada masa yang sama mungkin ada dalam kalangan kita sebenarnya menghadapi kesukaran mendapatkan makanan untuk berbuka lantaran kemiskinan atau kesempitan hidup.

Selain itu, kepada mereka yang gemar berbuka puasa di hotel-hotel mewah, kalau boleh berusaha segera ke masjid untuk solat berjemaah Maghrib dan Isyak seterus­nya Tarawih.

Bukan apa, kita bimbang mungkin ada segelintir dalam kalangan kita yang mengeluarkan sejumlah wang yang agak besar untuk berbuka berasa sayang untuk meninggalkan meja makan sehingga terlepas peluang menunaikan solat berjemaah di surau atau masjid berdekatan.

Secara kesimpulannya, kalau boleh kita semua perlulah berusaha menjadikan Ramadan kali ini sebagai Ramadan yang lebih baik untuk diri kita berbanding sebelumnya de­ngan berusaha bersungguh-sungguh mengikat hawa nafsu bagi mencapai matlamat ibadat berpuasa iaitu meraih ketakwaan.

Berusahalah dengan bersungguh-sungguh untuk meningkatkan kualiti ibadat kita, mudah-mudahan Allah menerima segala amalan kita dan diberi sebaik-baik ganjaran sepanjang Ramadan yang mulia ini. Selamat berpuasa.