Bagaimanapun Wan Shaharuddin berkata, semakan itu hanya akan dilakukan bagi kes yang telah mengemukakan surat atau representasi sah kepada AGC.

Jelasnya, kajian itu akan dilakukan berdasarkan bukti dan dasar kerajaan baharu, sehubungan itu beliau memohon penangguhan bagi kes rayuan yang difailkan oleh bekas anggota Parlimen N. Surendran.

Peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mewakili Surendran tidak membantah penangguhan itu.

Hakim Datuk Umi Kalthum Abdul Majid yang mengetuai panel tiga hakim menetapkan 31 Ogos bagi pengurusan kes. Dua lagi hakim ialah Datuk Kamardin Hashim dan Datuk Zabariah Mohd Yusof.

Surendran mengemukakan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya pada 14 April 2016 untuk merujuk tiga persoalan undang-undang mengenai perlembagaan di bawah Akta Hasutan 1948 ke Mahkamah Persekutuan.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. - Bernama