Beliau berkata, bagaimanapun proses pembenihan awan itu hanya boleh dilakukan sekiranya kehadiran awan mencukupi.

"Saya telah arahkan Jabatan Meteorologi supaya apabila ada cukup awan kita akan aktifkan proses pembenihan dengan merujuk kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) supaya memaklumkan kepada Kementerian Pertahanan untuk melakukan proses pembenihan awan itu.

"Saya tahu keadaan jerebu yang teruk terutama di utara Semenanjung dan Sarawak, jadi kita sudah siap sedia untuk bersihkan udara tetapi ia bergantung kepada kehadiran awan. Harap-harap kita dapat buat proses pembenihan awan ini secepat mungkin," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas melawat kawasan pembakaran terbuka di Johan Setia di sini. Turut serta Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar, Datuk Dr. Ahmad Kamarulnajuib Che Ibrahim, Pengarah Jabatan Alam Sekitar Selangor, Siti Zaleha Ibrahim, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Azmi Osman dan Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Kandis, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni. - Bernama