Timbalan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Paddy Abd Halim berkata, jabatan itu akan melakukan yang terbaik untuk membantu pengeluar dengan membimbing mereka agar kedua-dua pihak dapat berinteraksi dengan lebih baik.

"Kami menerima maklum balas memberangsangkan daripada syarikat-syarikat dan mereka menunjukkan minat yang tinggi, memastikan mereka boleh mematuhi apa juga peraturan yang ditetapkan kerajaan," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual hari ini. 

Beliau berkata, Jabatan Kastam sebelum ini menyasarkan 78,000 syarikat mendaftar di bawah rejim SST berbanding 470,000 syarikat yang mendaftar semasa era Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada enam peratus.

Bagaimanapun, setakat 16 Ogos, kira-kira 79,966 syarikat telah mendaftar bagi cukai satu peringkat itu apabila sesetengah syarikat secara suka rela mendaftarkan perniagaan mereka. 

Paddy berkata, walaupun kutipan cukai daripada SST dijangka rendah sedikit pada RM21 bilion berbanding RM44 bilion di bawah GST, apa yang lebih penting bagi kerajaan adalah kesejahteraan negara. 

Beliau menjelaskan GST merupakan sistem cukai pelbagai peringkat, di mana ia dikutip pada peringkat tokokan nilai dan pengeluaran dan sehingga peringkat runcit. 

Justeru itu, cukai dikenakan pada setiap peringkat manakala SST adalah cukai satu peringkat yang hanya terpakai hanya di peringkat pembuatan, katanya. 

"Maksudnya, hanya barangan yang dikenakan cukai dan dikeluarkan akan dikenakan cukai jualan di peringkat pembuatan. Anda boleh katakan ia adalah proses yang lebih mudah berbanding GST," katanya. 

Seperti yang dilaporkan, kerajaan Pakatan Harapan telah menunaikan satu daripada janji utama pilihan rayanya dengan pemansuhan GST, yang dilaksanakan pada April 2015 pada enam peratus. 

Pada Sabtu ini (1 September), Malaysia akan mengenakan cukai antara lima dan 10 peratus bagi jualan barangan dan enam peratus bagi perkhidmatan.

Mengenai cabaran melaksanakan SST 2.0, Paddy berkata, beliau tidak menjangkakan sebarang masalah besar kecuali bagi perniagaan baharu yang mungkin tidak mempunyai pengalaman menggunakan cukai itu manakala sesetengahnya mungkin masih tidak pasti sama ada barangan mereka perlu dikenakan cukai atau tidak.

Sehubungan itu, beliau berkata Jabatan Kastam selepas mengadakan beratus-ratus program bimbingan bagi syarikat di seluruh negara, akan meneruskan usaha itu sehingga minggu kedua September. 

"Oleh kerana kami telah mempermudahkan proses (pengecualian), mungkin akan ada isu di mana perniagaan menyalahgunakan sistem, tetapi jika adapun, kami rasa ia kecil. Kami tidak menjangka setiap orang akan menyalahgunakan sistem dan kami menaruh keyakinan kepada perniagaan," katanya.

Jabatan itu mengumumkan jumlah  barangan pengguna yang akan dikecualikan daripada cukai jualan adalah 10 kali ganda daripada di bawah GST.

Sejumlah 5,443 barangan pengguna telah dikecualikan daripada cukai jualan, yang ditetapkan pada 5.0 peratus atau 10 peratus.

Bagi memudahkan perniagaan dan orang awam menjelang pelaksanaan SST jabatan itu telah memuat naik maklumat di laman webnya www.customs.gov.mydan mengalu-alukan sebarang soalan mengenai cukai tersebut di pusat panggilan di talian 1-300-888 500 dari pukul 8.30 pagi sehingga 12 malam. - Bernama