Dalam operasi selama lima jam bermula pukul 12.30 tengah malam itu melibatkan 138 pegawai dan anggota dari Jabatan Imigresen Selangor, Putrajaya dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Selangor berjaya menahan 314 PATI.

Pengarahnya, Omran Omar berkata, serbuan tersebut dilakukan hasil risikan selama dua minggu di kawasan rumah kongsi yang mempunyai tiga blok penempatan itu.

Katanya, ketika serbuan, sebahagian besar PATI tersebut sedang tidur dan sebaik sahaja menyedari kehadiran pihak berkuasa, ada segelintir daripada mereka bertindak melarikan diri ke kawasan semak berhampiran.

"Kita telah mengepung kawasan terbabit, bagaimanapun terdapat beberapa orang warga asing sempat melarikan diri ke kawasan semak di belakang rumah kongsi berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. - K! ONLINE