Menterinya, Gobind Singh Deo berkata, TM perlu menyatakan strategi dan langkah-langkah yang akan dilaksanakan untuk menyelesaikan masalah berkaitan perkhidmatan jalur lebar itu.

“Banyak aduan telah pun diterima berkenaan dengan masalah kelajuan yang rendah dan harga tinggi bagi perkhidmatan Streamyx.

“Saya berpendapat bahawa perhatian khas harus diberikan kepada aduan-aduan ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menerima kunjungan rasmi Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO) TM, Datuk Noor Kamarul Anuar Nuruddin, Pengerusi TM, Rosli Man dan Ketua Pegawai Operasi, Imri Mokhtar di pejabatnya di sini hari ini.

Menurutnya, antara perkara yang dibincangkan termasuklah bagaimana TM boleh membantu dalam hasrat kerajaan untuk mengembangkan infrastruktur jalur lebar ke seluruh negara serta menjayakan inisiatif ‘Double the Speed, 
Half the Price’ yang telah diumumkan tahun lepas.

“Beberapa cadangan penyelesaian berkenaan masalah Streamyx telah pun dikemukakan.

“Saya berpendapat suatu keputusan muktamad perlu dibuat dalam perkara ini,” ujarnya.

Gobind berkata, setakat tahun 2018, jumlah pelanggan asal perkhidmatan Streamyx dianggarkan kira-kira 1.27 juta orang.

Katanya, daripada jumlah itu, kira-kira 340,000 pelanggan berada di dalam kawasan liputan Unifi fiber dan mereka boleh beralih kepada perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi itu.

“Setakat ini, kira-kira 266,000 orang daripada pelanggan berkenaan telah beralih kepada Unifi fiber.

“Saya dimaklumkan pelanggan selebihnya terkandung dalam dua kategori lain iaitu yang berada dalam kawasan menggunakan Unifi (Copper) dengan kelajuan perkhidmatan terhad kepada 30 Mbps manakala kategori kedua adalah pelanggan yang mengunakan perkhidmatan Streamyx dengan kelajuan maksimum boleh dicapai hanya 8 Mbps,” katanya.

Sementara itu, Gobind berkata, perkembangan pesat dalam bidang teknologi yang dijana melalui perkhidmatan internet memerlukan tumpuan khusus kepada pembangunan infrastruktur jalur lebar berkelajuan tinggi, harga berpatutan dan berkualiti.

“Inilah yang menjadi asas kepada Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0) yang sedang melanda dunia sekarang.

“Kita perlu memastikan bahawa kita bersedia untuk cabaran-cabaran pada masa hadapan dan perkhidmatan yang kita sediakan adalah sesuai untuk menghadapi dunia teknologi baharu ini khususnya di mana Malaysia telah melancarkan projek rintis untuk perkhidmatan 5G,” katanya. - K! ONLINE