Dalam lawatan itu, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail meluangkan masa kira-kira 30 minit melihat sendiri keadaan di Cameron Highlands khususnya senario penerokaan tanah tanpa kawalan dan pembinaan struktur haram di tanah dan sungai rizab.

Beliau diberi taklimat mengenai kawasan-kawasan yang diceroboh secara haram, cerun risiko dan tapak penerokaan semula serta pencerobohan rizab sungai oleh Pengarah Perhutanan negeri Pahang, Datuk Dr. Mohd Hizamri Mohd Yasin dan Penolong Pengarah Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands, Yamin Hafiz.

Taklimat tersebut antara lain memberi penerangan berhubung aktiviti penerokaan tanah secara haram dan tanpa kawalan mengundang risiko tinggi berlakunya tanah runtuh yang telah dilakukan oleh pihak luar lebih lima tahun lepas di kawasan 64.7 hektar tanah rizab penempatan Orang Asli di Pos Terisu.

Dalam tinjauan di kawasan itu, didapati terdapat dua kawasan bukit yang telah dimajukan untuk tujuan pertanian hingga sebahagiannya menampakkan hakisan tanah di lereng-lereng bukit. - Bernama