Yeoh berkata, mesyuarat dijangka diadakan sebelum Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad, membentangkan cadangan isu projek pembangunan berkenaan untuk perhatian Kabinet.

“Yang paling terdekat ialah mesyuarat Majlis Menteri Wilayah untuk semua Ahli Parlimen Kuala Lumpur dan (Ahli Parlimen Lembah Pantai) Fahmi Fadzil akan membawa perkara ini (projek pembangunan TRK) dalam mesyuarat berkenaan.

“Mesyuarat majlis akan diadakan sebelum mesyuarat Kabinet,” katanya kepada pemberita selepas Dialog Awam mengenai Taman Rimba Kiara, di Dewan Komuniti TTDI di sini hari ini.

Baru-baru ini, Khalid berkata, keputusan mengenai projek pembangunan TRK akan diputuskan dalam mesyuarat kabinet sama ada untuk memberi pampasan kepada pemaju atau diteruskan dalam skala kecil.

Khalid berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu membayar kira-kira RM150 juta kepada pemaju sekiranya projek itu dibatalkan dan ia adalah pembaziran dana awam.

Sebelum ini, Yayasan Wilayah Persekutuan (YMP), pemilik berdaftar tanah berkenaan yang diperuntukkan untuk pembangunan di kawasan TRK, dilapor menjelaskan versi skala kecil projek itu tidak akan mencerobohi sempadan taman awam.

Yeoh yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, bagaimanapun berkata, idea itu untuk skala kecil projek berkenaan namun ia masih mencerobohi kawasan nadi hijau itu.

“Saya mencadangkan dua penyelesaian iaitu pembatalan dan bayar pampasan atau teruskan projek tetapi dalam lingkungan penduduk rumah panjang Taman Bukit Kiara.

“Jika kita (kerajaan) berkata tidak mampu membayar pampasan, kita mahu situasi menang-menang (penyelesaian),” katanya.

Yeoh juga menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi perhatian serius terhadap hasil laporan itu nanti oleh Pusat bagi Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) yang mendakwa Menteri Wilayah Persekutuan ketika itu, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, mempunyai kepentingan diri terhadap projek berkenaan. - Bernama