Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, pendirian Mahathir berhubung isu Palestin sebelum ini telah diiktiraf dunia dan justeru itu, beliau yakin pengaruh Perdana Menteri itu masih kuat sehingga kini.

"Saya kira Tun Dr. Mahathir boleh menjadi suara bukan sahaja untuk umat Islam tetapi juga suara kemanusiaan, beliau telah mengemukakan banyak pendirian (berhubung isu Palestin) ketika beliau menjadi Perdana Menteri sebelum ini.

"Kita lihat PBB nampak berlengah dan selalu beralasan tidak boleh buat apa-apa sedangkan Israel telah melakukan jenayah selama 70 tahun, semua laporan berkenaan Israel amalkan dasar apartheid sudah jelas, serangan di Gaza dan penafian hak asasi rakyat Palestin juga sudah jelas. Sebab itu kita berpendapat Malaysia harus ambil inisiatif untuk menyoal kewibawaan PBB dalam hal ini," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi dan Presiden Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (SHURA), Abdul Ghani Samsudin. - Bernama