Tanpa mengira bangsa, agama dan latar belakang, mereka melakukan pelbagai aktiviti sukan dan riadah bersama rakan-rakan, ahli keluarga dan anggota masyarakat.

Di sebalik penganjuran temasya tahunan itu, penulis tertarik dengan saranan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menasihatkan rakyat supaya tidak mencontohinya yang jarang bersukan.

Menurutnya, sejak dari kecil beliau mengaku dirinya bukan seorang ahli sukan dan tidak mengamalkan aktiviti tersebut sejak dari dahulu.

“Saya tidak guna otot dan tubuh badan seperti yang saya nasihatkan kepada orang lain. Orang lain patut buat apa yang saya tidak buat,” katanya secara berseloroh pada sambutan HSN peringkat kebangsaan di pekarangan Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Justeru, di sebalik seloroh­nya itu beliau menggesa rak­yat sentiasa menggunakan otot dan otak supaya kekal sihat serta cerdas.

Bagaimanapun, di sebalik sambutan HSN, penulis turut tertarik dengan isu warna ka­sut dan stoking para pelajar di negara ini.

Kementerian Pendidikan menerusi satu kenyataan memaklumkan bahawa pemakai­an kasut berwarna hitam ke atas lebih lima juta pelajar sekolah rendah serta menengah akan dikuatkuasakan sepenuhnya pada 2021 dan secara berperingkat mulai tahun depan.

Tidak terhenti setakat itu, tular pula di media sosial berhubung langkah Kementerian Pendidikan sedang mengkaji warna stoking pelajar sekolah.

Namun, Menteri Pendidikan, Maszlee Malik mempersoalkan keprihatinan segelintir pihak terhadap kenyataannya berhubung isu remeh berbanding perkara lebih penting yang dibangkitkan.

“Saya cakap perkara trivial (remeh) kurang satu minit ia dilaporkan dalam media.

“Apabila saya bincang perkara penting mengenai hospital universiti, tidak ada yang hendak sensasikan?” soalnya dalam Facebook baru-baru ini.

Beliau mengulas mengenai laporan sebuah akhbar yang kemudian dipetik media lain bahawa Maszlee pada satu sidang akhbar selepas lawatan ke Jabatan Perubatan Kecemasan, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) berkata, isu warna stoking akan diputuskan selepas perbinca­ngan dengan pelbagai pihak selesai dilakukan.

Keprihatinan menteri terhadap pelbagai isu sama ada besar atau kecil disambut baik demi kemajuan pendidikan anak bangsa Malaysia.

Penulis juga berminat untuk menarik perhatian menteri mengenai isu kekurangan Sekolah Menengah Agama (SMA) di Kuala Lumpur sehingga memaksa ibu bapa serta para pelajar menagih simpati negeri berjiran atau bersekolah di kampung halaman untuk menyambung pelajaran dalam bidang itu.

Sebagai makluman di Kuala Lumpur hanya terdapat tiga buah SMA.

Sebanyak dua buah di bawah kendalian Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) iaitu SMA MAIWP dan Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz (SMISTA).

Satu lagi sekolah di bawah Kementerian Pendidikan iaitu SMA Kuala Lumpur yang menawarkan program Ulul Albab.

Jumlah itu tidak mencukupi untuk menampung permintaan yang tinggi dalam kalangan pelajar serta ibu bapa di ibu kota.

Bukan mahu membuat perbandingan, namun penulis ingin berkongsi dengan pembaca mengenai jumlah SMA di beberapa negeri.

Sekadar contoh, Johor memiliki 22 buah SMA, Selangor (22), Negeri Sembilan (17), Melaka (9), Pahang (18) dan sebuah SMA di Perlis.

Penulis pernah menulis isu SMA menerusi coretan bertajuk Harapan Ibu Bapa Pada Sekolah Agama yang disiarkan pada 26 Januari 2018 dan Pendidikan Agama dan Revolusi Industri 4.0 (1 Mac 2018).

Diharapkan isu itu turut menarik minat menteri untuk dibicarakan seterusnya direa­lisasikan demi kepentingan pendidikan anak bangsa Malaysia.